Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Vaksin influenza bukan wajib, hanya langkah pencegahan

KUANTAN – Orang ramai dinasihati tidak panik dengan wabak virus influenza sehingga berpusu-pusu mendapatkan vaksin kerana ia sekadar pencegahan, bukan menyembuhkan.

Doktor Pakar Dalaman dan Rheumatologi dari KPJ Pahang, Dr Hilmi Abdullah berkata, pesakit influenza itu sendiri boleh sembuh meskipun tanpa mendapatkan antiviral Tamiflu dengan mengamalkan langkah-langkah kebersihan dan kuarantin di rumah.

Menurutnya, kebimbangan ibu-bapa apabila melihat kes influenza yang meningkat dan ramai pula membicarakan isu ini secara berlebih-lebihan membuatkan masyarakat menjadi panik dan obses untuk mendapatkan vaksin sebagai langkah pencegahan.

“Masyarakat sebenarnya tidak perlu terlalu bimbang dengan influenza kerana virus ini bukanlah sejenis virus yang membawa maut. Ini kerana virus influenza sememangnya sentiasa berada di persekitaran kita sepanjang tahun setiap masa, jadi masyarakat tidak perlu cemas tetapi perlu mengambil langkah-langkah pencegahan yang betul.

“Pencegahan terbaik adalah vaksin tetapi tidak semua memerlukan vaksin. Hanya golongan tertentu sahaja yang perlu diberi keutamaan seperti kanak-kanak berumur di bawah lima tahun, warga emas 65 tahun ke atas, petugas yang berdepan dengan orang ramai seperti hospital, imigresen, asrama dan ibu-ibu hamil serta pesakit-pesakit kronik seperti kencing manis, buah pinggang dan lelah,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, vaksin bukanlah jaminan 100 peratus seseorang itu tidak akan dijangkiti influenza bahkan tidak menjamin 100 peratus imun meskipun setelah mengambilnya.

Katanya influenza boleh dijangkiti melalui titisan air yang tersebar melalui mulut dan hidung sebab itu orang ramai mudah mendapat virus apabila berdekatan dengan orang yang batuk atau bersin.

Virus influenza juga mudah merebak melalui tangan yang tercemar apabila individu yang sudah dijangkiti bersentuhan dengan orang lain.

“Setiap kali dapat jangkitan kena tengok juga apa penyebabnya. Bagi kes melibatkan kematian adakala kena lihat faktor lain selain influenza. Mungkin kerana bakteria. Bagi saya vaksin ni bukan satu kemestian untuk ambil,” katanya.

Menurut Dr Hilmi ubat antivirus eperti tamiflu diberi kepada pesakit bagi merawat influenza namun jika tanpa ubat tamiflu, pesakit masih boleh disembuhkan.

“Malah kita (KPJ) pernah hadapi kekurangan tamiflu tetapi pesakit masih boleh baik (sembuh) daripada influenza dengan syarat melakukan langkah-langkah seperti banyak berehat, minum air putih, jaga kebersihan.

“Tamiflu tu mungkin mempercepatkan sikitlah (sembuh). Mungkin boleh sembuh sehari dua lebih awal,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan orang ramai untuk segera mendapatkan khidmat doktor jika mempunyai tanda-tanda influenza antaranya demam tinggi, badan lesu melampau, batuk, sakit tekak dan otot, selain sakit perut, sakit dada dan cirit-birit.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén