Bukan sekadar blog

Berita Utama

Tular pesakit Covid-19 lari dari Hospital Port Dickson palsu

PORT DICKSON – Berita dua individu yang dikatakan positif Covid-19 melarikan diri dari Hospital Port Dickson seperti yang tular di media sosial sejak semalam adalah tidak benar, kata Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed.

Beliau berkata, sebaliknya kedua-dua individu itu yang berusia 40 dan 44 tahun datang ke hospital berkenaan bagi menjalani ujian saringan Covid-19 mengikut prosedur pihak hospital kerana dikatakan mempunyai simptom virus itu.

Bagaimanapun katanya, individu berumur 40 tahun itu telah meninggalkan hospital tanpa menjalani ujian saringan tetapi kembali semula untuk mendapatkan rawatan atau ujian saringan sementara seorang lagi belum kembali semula ke hospital dan pihak jabatan kesihatan serta hospital dibantu polis sedang mengesannya.

“Kenyataan yang tular mengatakan kedua-dua orang awam ini telah positif Covid-19 adalah tidak benar kerana pihak hospital belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan hasil keputusan saringan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, semakan lanjut juga masih dijalankan sama ada kedua-duanya telah hadir ke perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur ataupun tidak, berikutan banyak jangkitan direkodkan susulan perhimpunan itu.

“Pihak polis menasihatkan mana-mana individu supaya tidak menularkan sebarang kenyataan atau laporan yang tidak benar dalam media sosial kerana ia boleh mendatangkan rasa panik dalam kalangan masyarakat,” katanya dan menurutnya perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang. – Bernama

Loading...

Leave a Reply