SEREMBAN – Tiga remaja yang terlibat dalam rakaman video ketika merosakkan barang makanan di sebuah kedai serbaneka di Nilai dekat sini semalam menyerah diri kepada polis petang tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, ketiga-tiga lelaki itu menyerah diri di Balai Polis Nilai pada pukul 3.45 petang.
“Dua daripada mereka berusia 18 tahun, manakala seorang lagi berumur 20 tahun. Mereka menyerah diri selepas mengetahui bahawa pihak polis mencari mereka susulan kejadian itu.
“Polis masih dalam proses merakamkan keterangan mereka dan tindakan susulan akan diambil selepas proses itu selesai. Berdasarkan rakaman video itu cuma seorang dilihat merosakkan makanan, manakala seorang lagi merakam video,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, polis dilaporkan memburu lelaki yang terlibat dalam rakaman video menunjukkan dia merosakkan barang makanan di kedai serbaneka di sebuah pasar raya di Nilai.
Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan selepas pihak premis membuat laporan berhubung kejadian khianat itu pada pukul 11.20 malam tadi.
Suspek didakwa sengaja melakukan perkara tersebut dan dilihat ketawa semasa rakaman video dibuat oleh rakannya.
Perbuatan tersebut kemudian dikongsi melalui Instagram dan tular dalam laman sosial sebelum disedari oleh pengurus premis terbabit yang membuat laporan polis. -UTUSAN ONLINE
Leave a Reply