Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Tiada tindakan lanjut untuk kes pangsapuri Tok Mat di London

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara mengekalkan keputusan tiada tindakan pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kes pengubahan wang RM10 juta untuk pembelian pangsapuri mewah di London.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) menerusi jawapan bertulis menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes itu sudah selesai dan kertas siasatan sudah dikemukakan kepada jabatan itu pada tahun 2011.

“Pada tahun 2013, Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada tindakan pendakwaan dalam kes ini dan siasatan telah dihentikan.

“Bagaimanapun, pada April 2019 kertas siasatan sudah dikemukakan untuk penelitian semula dan pada 2 Mei 2019 Jabatan Peguam Negara mengekalkan keputusan tiada tindakan lanjut No Further Action (NFA) setelah meneliti hasil siasatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Vui Keong menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanyakan berhubung perkembangan hasil siasatan terhadap Mohamad Hasan mengenai isu berkenaan.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat sebelum ini menafikan berlaku salah guna kuasa dalam isu beliau memindahkan RM10 juta menggunakan pengurup wang yang berlaku lebih sedekad lalu.

Menurutnya, wang dipindahkan ke London untuk membeli apartmen itu dilakukan dengan betul ketika beliau masih menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Berhadapan isu itu, Mohamad juga bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

Isu itu juga menjadi alat serangan pihak lawan ketika beliau bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Rantau pada April lalu.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén