Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Dalam Negeri

Tak bergaya dan mewah, tapi petani berstatus ijazah ini raih RM80,000 semusim!

JERTIH – Segelintir anak muda lepasan universiti kini memilih berbudi pada tanah dengan menggabungkan ilmu yang diperoleh untuk meraih pendapatan lumayan.

Meskipun kelihatan tidak bergaya dan mewah, tiada siapa sangka di sebalik wajah kusam dan pakaian lusuh, pendapatan mereka mampu mencecah RM80,000 semusim iaitu antara tujuh hingga lapan bulan.

Abdul Rahman Mohd Nor, 30, yang pernah menerima tawaran bekerja di pejabat kerajaan pada penghujung tahun lepas merupakan antara penanam cili besar atau nama saintifiknya Capsicum anuum, yang berjaya.

Beliau berkata minat terhadap bidang itu melebihi keinginan bekerja di pejabat berhawa dingin.

“Saya tahu apabila menceburi bidang pertanian risikonya amat besar berbanding bekerja di pejabat dengan gaji tetap setiap bulan, namun ia bukan alasan untuk saya mencapai impian bergelar petani moden yang berjaya.

“Apabila saya tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Sumber dan Alam Sekitar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) saya cuba menjalankan tanaman cili secara komersil dengan berbekalkan ilmu serta tunjuk ajar daripada ayah saya sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama di ladang miliknya di Kampung Padang Landak, Jertih, di sini hari ini.

Selain itu, beliau juga mengikuti program keusahawanan yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian sejak tiga tahun lalu. Penglibatan keluarganya dalam penanaman tembakau sejak Abdul Rahman kecil lagi sedikit-sebanyak mendedahkannya kepada jerih-perih kehidupan seorang petani, hingga beliau menjadi cukup bersedia menghadapi sebarang risiko.

Lebih membanggakan hasil tanaman di tanah seluas tiga ekar (1.2 hektar), Abdul Rahman mampu mengutip hasil sehingga 12 tan cili besar semusim, dengan dibantu oleh lima pekerjanya.

“Apabila kita memilih untuk bekerja sendiri kita perlu menanggung risiko bersendirian, namun walaupun kita graduan universiti tidak semestinya kita perlu berharap sepenuhnya untuk memegang jawatan besar. Kita mampu berdiri di atas usaha kita di dalam keadaan ekonomi negara kita sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi graduan, Rohana Alias, 39, yang mengusahakan tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di Fertigasi Alor Lintang, Besut berkata menceburi bidang pertanian boleh memberikan keseronokan di samping memperoleh pendapatan lumayan.

Menurut Rohana, beliau yang menceburi bidang pertanian hampir 13 tahun dan gembira dengan kerjaya pilihannya itu walaupun tidak ramai graduan wanita sepertinya berminat dalam bidang berkenaan.

“Sememangnya bekerja dalam bidang ini kita tidak berpakaian cantik sebagaimana mereka yang bekerja di pejabat, namun mereka yang bertani ini punyai kelebihan tersendiri yang mana saya boleh memilih waktu kerja saya sendiri.

“Walaupun mereka hanya melihat kami berpakaian selekeh namun kami masih mampu meraih pendapatan minimum RM20,000 untuk semusim dan kini pasaran MMT yang saya usahakan telah berkembang ke seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata walaupun mempunyai Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Kolej Universiti Malaysia Terengganu (kini Universiti Malaysia Terengganu), beliau tetap akan meneruskan usahanya dalam bidang pertanian walaupun mendapat tawaran pekerjaan yang lebih terjamin.

Beliau yakin graduan lain juga mempunyai peluang yang sama sekiranya berminat dan berusaha bersungguh-sungguh tanpa berharap bekerja di pejabat sahaja. Rohana memperoleh ijazah pada 2003 dan pernah mendapat kursus berkaitan penanaman dari Program Inkubator Usahawan Belia Tani (IUBT) pada 2007.- Bernama

Loading...

1 Comment

  1. Othman razali

    Bagusnya kamu …tahniah

Leave a Reply

Theme by Anders Norén