KUALA SELANGOR – Polis Kuala Selangor berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai telah memukul seorang remaja dengan sebatang besi dalam di Masjid Ar Raudhah di Tanjong Karang dekat sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md. Asri A. Wahab berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.15 pagi semalam di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.
Beliau berkata, lelaki berkenaan ditahan ketika mendapatkan rawatan susulan berkaitan ketagihan dadah di Klinik Terapi Gantian Metadon hospital berkenaan.
“Selepas kita mendapat maklum mengenai suspek kita kemudianya menjejaki suspek dan berjaya menahan suspek di hospital terbabit pagi tadi.
“Siasatan lanjut mendapati suspek yang beralamat di Taman Perpaduan Ulu Kinta itu mempunyai 12 rekod lampau berkaitan dadah, mencuri dan pecah rumah serta pernah menjalani perintah sekatan buang daerah ( PCO),”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Md Asri berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuala Selangor esok untuk permohonan reman.
Kosmo! pada Ahad lalu melaporkan, niat baik seorang remaja lelaki menunaikan solat Isyak di Masjid Ar Raudhah di Tanjong Karang dekat sini, Selasa lalu bertukar tragedi apabila dia dipukul seorang lelaki yang menyangka mangsa mahu mencuri tabung masjid berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa berusia 17 tahun menerima enam jahitan pada bahagian kepala akibat dipukul dengan menggunakan besi.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku selepas mangsa yang juga pembantu gerai makan di sebuah kedai makan berdekatan masjid itu selesai menunaikan solat Isyak. – K! ONLINE
Leave a Reply