Bukan sekadar blog

Politik

Skandal Yapeim: Akmal sedia dedah identiti pemberi maklumat

SHAH ALAM – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir bersedia mendedahkan identiti sebenar pemberi maklumat yang menyalurkan bukti-bukti skandal penyelewengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) sekaligus menyelamatkan yayasan itu.

Namun, beliau berkata, perkara tersebut bersyarat iaitu pemberi maklumat tersebut diberikan perlindungan dan penghormatan sewajarnya.

“Saya merujuk kepada laporan media berkenaan satu laporan penstrukturan semula Yapeim yang antara lain mengesahkan kebenaran pendedahan demi pendedahan mengenai penyelewengan dan ketirisan yayasan itu pada tahun 2015.

“Saya amat berterima kasih kepada pemberi-pemberi maklumat yang telah mengambil risiko menyalurkan maklumat tepat kepada Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) dan rakyat Malaysia kerana memilih peralihan kuasa kerajaan sekaligus membolehkan skandal-skandal rasuah disiasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2015, Akmal atas kapasiti Pengarah NOW mendedahkan penyelewengan dana dan salah guna di yayasan itu.

Beliau kemudian disaman fitnah oleh bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom namun mahkamah pada Julai 2016 membatalkan saman tersebut dengan alasan Jamil tidak boleh mengemukakan saman atas kapasiti menteri.

Mengulas lanjut, beliau meminta kerajaan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat supaya majikan, pekerja dan masyarakat dapat memberikan pengiktirafan kepada mereka yang mengambil risiko sebagai pemberi maklumat.

Jelasnya, laporan diterbitkan turut membuktikan skandal Yapeim yang berlaku sebelum ini lebih teruk daripada yang disangka.

“Umum mengetahui bagaimana wang tersebut disalahguna oleh mereka yang terlibat ke luar negara, pembelian alat golf simulator dan bayaran gaji serta bonus yang melampau.

“Pendedahan laporan terbaru ini pula menunjukkan penyelewengan turut berlaku dalam urusan perniagaan seperti Ar-Rahnu dan pembelian syer syarikat yang tidak menguntungkan,” katanya.

Menurutnya, mereka yang terlibat dengan perkara ini wajar diambil tindakan tegas dan perlu memulangkan semula wang serta imbuhan yang diselewengkan.

“Ini kerana Yapeim merupakan sebuah yayasan kebajikan yang bergantung kepada sumbangan orang ramai terutamanya kakitangan kerajaan bertujuan untuk membantu golongan memerlukan seperti anak yatim dan fakir miskin.

“Sudah menjadi harapan agar yayasan itu dipulihkan kembali kepada tujuan asal, perlu mempunyai tanggungjawab dan integriti kepada para penyumbang. Struktur yayasan ini perlu di reformasi sepenuhnya supaya skandal sebegini tidak berulang,” katanya.

Loading...

Leave a Reply