Bukan sekadar blog

Jenayah

‘Sharil Chain’ dipenjara dua bulan hina Agong di Facebook

PADAH menghina Yang di-Pertuan Agong, di laman sosial Facebook miliknya, seorang pekebun dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim MM Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharil Mohd Sarif, 36, yang juga Orang Kena Saman (OKS) pada sebutan kes itu.

Sharil yang didakwa kali pertama pada 22 Mac lalu dan mengaku tidak bersalah tetapi menukar pengakuannya kepada bersalah pada 8 April lalu selain membuat rayuannya pada tarikh itu.

Mahkamah memerintahkan bapa kepada empat anak berusia antara 12 hingga lima tahun itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 15 Mac lalu.

Terdahulu dalam penghakimannya, Edwin berkata serangan yang menyinggung sistem perlembagaan beraja negara perlu diberi perhatian yang serius terutama di negara ini yang menyaksikan semua rakyat mempunyai perasaan hormat yang mendalam terhadap sistem beraja.

“Kes sebegini kerap membangkitkan persoalan antara hak kebebasan bersuara dan soal kepentingan kerajaan dalam melindungi ketenteraman awam dan mengukuhkan perpaduan.

“Perkembangan teknologi bermakna sesiapa sahaja yang mempunyai telefon pintar berpotensi sebagai pengkritik yang boleh menyebarkan pendapat mereka di media sosial dengan serta-merta namun perkara ini telah menyebabkan mereka meluahkan pendapat tanpa tapisan dan perasaan melampau dinyatakan dalam cara yang kasar,” katanya.

Mengikut pertuduhan, OKS didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “Sharil Chain“, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik, berserta sekeping gambar senarai Yang di-Pertuan Agong, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di Kuala Lumpur, 11.30 pagi, 13 Mac lalu.

Dakwaan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal.

Loading...

Leave a Reply