Semalam kita dikejut dengan insiden tiga beradik yang menjadi mangsa lemas di Sungai Terengganu.

Lebih menyayat hati, bapa kepada tiga beradik itu, Mohd Ismail tidak berupaya membawa sendiri jenazah anak-anaknya itu ke Tanah Perkuburan Nering Kampung Rawai, Marang biarpun sebelum ini telah menghantar 40 jenazah ke tanah perkuburan.

Kisah berkenaan pastinya meruntun hati seluruh rakyat Malaysia.

Namun, gambar ilustrasi yang dihasilkan sebuah laman Facebook dikenali sebagai Artortoise menambahkan lagi rasa sebak.

Gambar berkenaan memaparkan Mohd Ismail di tengah-tengah manakala tiga lagi anaknya berdiri disebelah kanan dan kirinya.

Namun, dengan warna yang telah pudar pada tiga beradik itu, sedikit sebanyak menggambarkan mereka tiada lagi di sisi Mohd Ismail. Cukup sedih!

Malah, rata-rata netizen dilihat turut terkesan dengan karya berkenaan.

Untuk makluman, pada Rabu lalu, kegembiraan tiga beradik itu untuk bermandi-manda di Sungai Terengganu bertukar tragedi selepas kesemua mereka lemas.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 petang pada 4 Syawal di sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mereka.

Tiga mangsa lemas berkenaan adalah Allahyarham Umar Iskandar Mohd, 21; Khairul Firdaus Mohd, 17, dan Khalif Naim Mohd, 16 yang merupakan anak keempat, keenam dan ketujuh dari lapan beradik.

Kesemua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat.

Seterusnya, ketiga-tiga jenazah berkenaan disembahyangkan di kediaman mereka di Kampung Kuala Telemong sebelum kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Nering Kampung Rawai.

Loading...