Bukan sekadar blog

Berita Utama

Salahuddin terlalu sibuk sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

KUALA LUMPUR – Tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani tidak membolehkan Datuk Salahuddin Ayub mengambil tahu khabar angin yang kononnya beliau antara calon Menteri Besar Johor.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu berkata, kesibukkannya menguruskan kementerian tersebut menyebabkan beliau hanya mengetahui Datuk Osman Sapian telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor.

“Saya terlalu sibuk di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, terlalu banyak kerja yang saya perlu lakukan.

“Betul, saya tak mendengar desas-desus itu, apa yang saya tahu Osman letak jawatan, lain-lain saya tak dengar. Terlalu sibuk dengan tugas saya di kementerian,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Loading...

Memetik laporan Free Malaysia Today pada 13 Mei tahun lalu, Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata, beliau menyedari ramai pihak yang kecewa apabila dirinya tidak dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

Walau bagaimanapun beliau yang turut menang kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berkata, semua pihak harus faham pelantikan jawatan menteri besar tertakluk kepada budi bicara dan hak mutlak Sultan Johor, seperti yang tercatat dalam undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Johor.

Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak cadangan UMNO Johor supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Menteri Besar Johor kerana Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mempunyai tugas lain perlu dilaksanakan. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply