Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

PRK Sandakan: Kerajaan PH luluskan 49 projek bernilai RM2.28 bilion

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak 49 projek pembangunan dengan kos keseluruhan mencecah RM2.2 bilion di daerah Sandakan, Sabah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pada tahun ini sebanyak RM183 juta peruntukan pembangunan telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek itu yang sedang dan akan dilaksanakan.

Beliau berkata, kerajaan terus memberi penekanan yang serius ke atas pembangunan di Sandakan yang merupakan bandar kedua terbesar di Sabah, meliputi kawasan Parlimen Sandakan, Batu Sapi, dan Libaran, untuk terus mendapat kemudahan terbaik.

“Kesejahteraan ekonomi yang berterusan adalah sasaran utama yang bakal memanfaatkan hampir 400,000 penduduk di daerah Sandakan. Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan secukupnya agar pembangunan ekonomi terus berkembang sebagai satu daripada pusat perniagaan yang berdaya maju di sebelah timur negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, antara projek yang dikenal pasti bagi manfaat rakyat Sandakan adalah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anip dianggarkan bernilai RM40 juta yang bakal memperbaiki sistem saliran dan menaiktaraf sungai di Sandakan.

Kerajaan Persekutuan juga katanya, telah meluluskan projek pembesaran Lapangan Terbang Sandakan bernilai RM80 juta melibatkan antara lain pemanjangan landasan dan penambahbaikan apron bagi meningkatkan keupayaan lapangan terbang tersebut.

“Selain itu, beberapa projek lain bagi peningkatan kedudukan ekonomi di daerah Sandakan terus diberi penekanan merangkumi projek-projek bagi industri berasaskan minyak dan kelapa sawit serta penyediaan kemudahan jaringan pengangkutan yang bakal merancakkan lagi ekonomi setempat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén