Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Politik

PRK Rantau: UMNO berpenyakit, perlu ‘suntikan tidur’ selama-lamanya

SEREMBAN — Umno telah lama sakit dan perlu ‘disuntik’ keluar terus supaya tidak terus membawa ‘penyakit’ kepada negara, kata Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran.

Beliau mengingatkan bahawa krisis kewangan yang dihadapi negara kini adalah berpunca daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) berkenaan yang memerintah negara selama 60 tahun.

“Ini negara banyak susah, banyak sakit bukan kerana kita tak ada wang, ini negara patut banyak kaya, tetapi sudah jadi roti kaya. Pasal apa? pasal Umno sudah belasah semua wang.

“Ini semua Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan ) punya parti, Tok Mat punya orang UMNO, ini semua terlibat, kita tak boleh cakap mereka tak terlibat,” katanya pada sesi ceramah kelompok Pakatan Harapan (PH) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di sini, malam ini.

Turut hadir Setiausaha Agung DAP, yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Kulasegaran, yang juga Menteri Sumber Manusia, turut menyentuh soal peluang pekerjaan kepada golongan belia di Rantau yang dakwanya tidak diberi perhatian oleh Mohamad sepanjang menjadi Menteri Besar dan Anggota DUN Rantau selama tiga penggal.

Pada PRK berkenaan, PH meletakkan pakar bius Dr S. Streram yang akan berhadapan Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang mewakili BN dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. — Bernama

Leave a Reply

Theme by Anders Norén