Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Sukan

Piala FA: Kekalahan besar TFC memalukan – Ahmad Said

KUALA TERENGGANU – Kegagalan Terengganu FC layak ke semi final Piala FA ekoran kekalahan besar 4-0 kepada Pahang malam tadi turut menarik perhatian bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) meluahkan kekecewaannya yang disifatkan cukup memalukan.

Menurutnya, kekalahan itu yang sekali gus menutup peluang TFC merangkul Piala FA musim ini begitu sukar dan perit untuk diterima.

Ini kerana jelasnya, skuad Penyu itu sudah mendahului Pahang dengan agregate 2-1 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini tempoh hari.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya satu post mortem dilakukan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan TFC dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur di Kuantan malam tadi.

“Kekalahan besar Terengganu FC 4-0 kepada Pahang malam tadi agak perit untuk diterima selepas kita mendahului secara agreget 2-1 dalam aksi pertama Suku Akhir Piala FA di minggu lalu di laman sendiri.

“Satu post mortem segera perlu dilakukan untuk mengenal pasti apakah punca sebenar yang menyebabkan pasukan Penyu tewas dalam angka jaringan yang memalukan kepada lawan sehingga menjadi bahan jenaka di media sosial,” katanya dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Ahmad berkata, perkembangan itu juga menunjukkan kegagalan mencapai sasaran ditetapkan pihak pengurusan TFC untuk ke final meskipun pasukan itu mendapat peruntukan besar sebagaimana dalam bajet setiap tahun.

“Dan ayat biasa kita dengar ‘cuba lagi tahun depan’ setiap kali tersingkir di peringkat timbal balik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén