Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Politik

PH akan terus pertahan hak Melayu dan Islam, kata Anwar

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) tetap mempertahankan prinsip Islam dan Melayu serta berjuang bersungguh-sungguh untuk mewakili seluruh rakyat berbilang kaum di negara ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ada pihak tertentu menyatakan kononnya PH seolah-olah cuai dan longgar pendekatannya dalam hal Islam dan Melayu.

“Saya tegaskan prinsip PH yang dimeterai tetap pertahankan agama dan yang ditolak adalah (sikap) ekstremis dan sikap tiada toleransi antara agama yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi di Dataran Rantau, di sini malam tadi.

Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Menyentuh masa depan PKR, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata parti itu mesti membuktikan agenda mereformasi negara menjadi fokus utama dan matlamat nasional.

Katanya, walaupun ketika penubuhan PKR ramai yang sangsi sama ada parti ini mampu membawa agenda untuk semua kaum, kini berjaya dibuktikan apabila menjadi parti yang memiliki suara terbesar dalam kerajaan.

“Mereka dulu kata tidak mungkin PKR boleh bawa imej parti pelbagai kaum orang belum bersedia tetapi nyata saudara, bahawa ini adalah parti untuk Malaysia dan masa depan negara ini.

“Keanggotaan majoriti (PKR) masih Melayu, Cina, India dan Dayak juga ramai. Kawasan Dayak yang jauh tidak diduga boleh dimenangi calon PKR. Majoriti kita Melayu dan keanggotaan India dalam PKR melebihi keanggotaan India dalam MIC,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén