Bukan sekadar blog

Berita Utama

Perniagaan musnah ditipu rakan, Dr Rozmey kini bangkit semula

Dikhianati teman rapat yang dianggap seperti darah daging sendiri meranapkan kepercayaan dan persahabatan yang digenggam lebih 10 tahun.

Empayar yang dibina hasil keringat dan doa orang tersayang musnah gara-gara persahabatan itu disulami dengan iri hati.

Begitulah kisah usahawan terkenal, Datuk Dr Che Rozmey Che Din yang pernah tersungkur akibat dikhianati bekas penasihat peribadi dan kewangannya ketika namanya berada di puncak.

Namanya pernah menjadi bualan ramai dengan penampilannya yang unik dan kekayaannya yang bernilai ratusan juta hasil pengenalan produk kesihatannya sendiri.

Kini, beliau yang popular dengan panggilan Dr Rozmey, tekad untuk bangkit membina semula empayarnya dengan memperkenalkan produk terbaru, DDR Bio Grow, baja organik kombinasi formula bio dan lautan yang dihasilkan menerusi penyelidikan serta kajian saintifik teknologi terkini.

Beliau yang kini menetap di Jitra, Kedah komited mahu membantu petani meningkatkan hasil tanaman ke tahap optimum, sekali gus menambah pendapatan petani.

“Saya tidak mahu sejarah lalu menghantui impian saya untuk membina nama dan pada masa sama, membantu orang lain meningkatkan pendapatan.

“Jika saya tidak bangkit sendiri, orang lain pun tidak mampu bantu saya kecapi apa yang saya dah hilang dulu,” luah Rozmey ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengapa menceburi bidang pertanian sebagai alternatif, beliau berkata, idea menghasilkan produk baja tercetus ketika melihat sektor pertanian berdepan masalah kurang hasil dan serangan makhluk perosak berulang.

Melihat kepada permasalahan itu, Dr Rozmey bekerjasama dengan rakannya, seorang pakar kimia dalam polimer bagi menghasilkan baja yang dapat membantu petani meningkatkan hasil pertanian.

“Kami ambil masa hampir dua tahun untuk proses pemba­­ngunan dan penyelidikan bagi penghasilan baja ini. Pada peringkat permulaan, ia diberikan kepada rakan terdekat untuk menggunakannya. Selepas melihat kesannya, kami mula luaskan pasaran.

“Pasaran baja ini dipromosikan dari mulut ke mulut dalam kalangan petani yang te-lah menggunakannya. Dari situ pengguna baja ini terus meningkat dari masa ke semasa,” katanya.

Katanya, DDR Bio Grow adalah baja polimer yang diekstrak daripada kulit udang dan cengkerang ketam menerusi teknologi biosains dan fasiliti makmal terkini.

“Menerusi kajian dijalankan mendapati kuasa bio mampu membantu menjadikan tanah subur dan gembur serta kaya dengan organik dan bakteria yang baik.

“Ia memberikan pulangan hasil tanaman tinggi, perkembangan buah dan tanaman memuaskan, menggalakkan akar lebat, serapan air dan baja yang efektif, tanaman sihat dan hijau serta pembesaran tanaman cepat,” katanya.

Dr Rozmey berkata, baja ini kaya dengan NPK (unsur utama) dan trace element (unsur surih) yang membantu membentuk pertumbuhan akar dan penyerapan nutrien dalam tanah, kaya dengan PGR (plant growth regulator), penggalak dan pembesaran tumbuhan dan memperbaiki hasil tanaman serta meningkatkan hasil tanaman daripada 30 peratus hingga 100 peratus.

“Selain itu, baja ini turut mengandungi hasil lautan iaitu kitosan dan rumpai laut sebagai pendorong pembesaran dengan meningkatkan pemecahan sel-sel tumbuhan bagi merangsang pertumbuhan dan pembesaran lebih baik selain mempercepatkan peningkatan proses fotosintesis.

“Pertahanan dan sistem imunisasi tumbuhan dengan memperbaiki keupayaan daya pertahanan terhadap jangkitan kuman dan serangan serangga serta penggalak tumbuhan dan perkembangan hasil buah dengan peningkatan keupayaan serapan unsur nutrien dalam tanaman.

“Selain itu, ia juga merawat serangan penyakit bermula daripada akar, batang hingga hasil. Ia juga mengurangkan kos baja dan rawatan pokok serta meningkatkan pendapatan petani,” katanya.

Kini, sejak mula diperkenalkan di pasaran tempatan pada awal tahun lalu, DDR Bio Grow menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan petani, terutama pesawah.

“Antara respon diterima ialah, pesawah mendapat hasil padi sebanyak 80 peratus daripada 0.3 hektar (1 relung) bersamaan 2.3 tan hingga 2.5 tan. Sebelum ini, hasil padi adalah 1.3 tan hingga 1.5 tan sahaja,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau yakin pasaran sektor pertanian mempunyai peluang yang besar dengan sebahagian besarnya masih belum diterokai oleh syarikat tempatan.

“Kini, kami dalam proses rundingan dengan beberapa agensi kerajaan untuk memperluaskan penggunaan DDR Bio Grow sebagai pembekal utama baja kepada petani.

“Dalam tempoh beberapa tahun lagi, kami yakin mampu meraih sekurang-kurangnya li­­ma peratus pegangan pasaran dalam penawaran baja organik kepada petani,” katanya.

DDR Bio Grow didatangkan dalam saiz 1 liter bagi kegunaan 1.3 hektar sawah semusim (RM65) dan 4 liter pada harga RM199.

Loading...

1 Comment

  1. Sukses terus Dr Rozmey, Anda sangat menginspiratif banyak orang..

Leave a Reply