Bukan sekadar blog

Politik

Penyakit Umno sudah merebak dalam PH, kata Mahathir

PENYAKIT dalam Umno sudah merebak ke dalam Pakatan Harapan, kata Dr Mahathir Mohamad, apabila kuasa politik dianggap tempat berpijak untuk mendapatkan segala-galanya.

Keadaan itu menyebabkan Dr Mahathir tidak yakin dengan barisan kepimpinan pelapis yang ada untuk masa depan Malaysia.

“Saya tidak begitu yakin. Dalam parti kita sendiri pun, penyakit yang merosakkan Umno sudah jadi penyakit orang kebanyakan.

“Mereka anggap duduk dalam parti yang menang itu hebat kerana mereka ada kuasa, boleh dapat itu dan ini.

“Kita beritahu mereka, walaupun dari parti yang menang, sistem kena adil untuk semua orang. Tetapi macam itulah, mereka malah ugut tidak akan beri sokongan,” katanya semasa bersarapan bersama beberapa wartawan di Langkawi, hari ini.

Dr Mahathir adalah juga pengerusi Pakatan dan pengerusi PPBM, parti yang membentuk gabungan itu bersama PKR, DAP dan Amanah. Pakatan juga menjalin kerjasama dengan Parti Warisan Sabah, yang menjadi kerajaan negeri di Sabah.

Pada pertemuan itu, Dr Mahathir turut mengakui Pakatan akan jadi kerajaan sepenggal sekiranya tidak berubah untuk jadi lebih baik dan mengurangkan pertelingkahan dalaman.

Selepas Pakatan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, beberapa pemimpin Umno mula meninggalkan parti dan kemudian menyertai parti komponen pemerintah.

Bukan senang rombak kabinet

Sementara itu, Dr Mahathir mengaku bukan mudah untuk beliau merombak kabinetnya begitu sahaja tanpa persetujuan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan.

Katanya, beliau perlu menimbang soal rombakan ini dengan berhati-hati.

“Saya bukan boleh gugurkan orang kalau orang kata rombak, rombak. Saya nak gugurkan sesiapa pun (dari parti tertentu) saya kena tanya parti yang berkenaan. Parti itu kena calonkan pengganti,” katanya.

Jelas Dr Mahathir, beliau menggugurkan Dr Maszlee Malik kerana bekas menteri pendidikan itu dari partinya sendiri, Bersatu.

“Parti saya terima. Parti lain mereka tidak mahu terima.

“Saya kena timbang perkara ini dengan hati-hati,” tambahnya.

Maszlee meletakkan jawatan pada 3 Januari lalu selepas dinasihatkan berbuat demikian oleh perdana menteri, yang kini turut memangku tugas sebagai menteri pendidikan.

Dr Mahathir sebelum ini beberapa kali membayangkan beliau berpuas hati dengan prestasi barisan kabinetnya, malah tidak yakin rombakan kabinet akan menjadikan keadaan lebih baik dan berbeza. – 20 Januari, 2020.

Loading...

Leave a Reply