Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Tragedi

Penjual kuih temui ajal dirempuh pemandu mabuk

PENJUAL kuih maut manakala suaminya parah dirempuh kereta dipercayai dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol dan ganja ketika berniaga di bahu Jalan Bertam Indah, Kepala Batas, pagi tadi.

Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kepala Batas, selepas dua jam dirempuh kenderaan itu.

Suami mangsa, Mat Subri Saad, 44, yang cedera di kepala dan beberapa anggota badan, dirawat di hospital yang sama.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata siasatan awal mendapati kereta yang dipandu lelaki berumur 31 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh gerai mangsa.

Akibat rempuhan itu, Roslinda dan suaminya tercampak lebih empat meter ke atas jalan raya.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan dan Roslinda disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Noorzainy berkata, susulan kejadian itu, pemandu kereta berusia 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati keadaan jalan semasa kejadian tidak sibuk dan cuaca baik. Pemandu kereta itu dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol. Ujian awal urin juga mendapati pemandu kereta itu positif ganja,” katanya.

Beliau berkata, polis akan mengambil sampel ujian darah untuk pengesahan kandungan alkohol dalam badan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén