Bukan sekadar blog

Berita Utama

Orang berniat lakukan kekejaman sahaja tolak Statut Rom, kata Shad Saleem

HANYA orang yang berniat melakukan jenayah kemanusiaan sahaja akan menolak perjanjian antarabangsa Statut Rom, kata pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi.

Beliau berkata demikian bagi menolak dakwaan yang Statut Rom akan mengancam kedaulatan dan kekebalan Raja-Raja Melayu, lapor The Star.

“Orang yang takut Malaysia menyertai perjanjian Statut Rom adalah orang yang berniat jahat untuk melakukan jenayah kejam ke atas masyarakat,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Beliau mengulas kebimbangan dan kekeliruan berhubung Statut Rom, yang menyebabkan Kabinet memutuskan agar Malaysia berundur daripada perjanjian itu semalam.

Perjanjian itu antara lain meliputi kuasa pentadbiran Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Menurut Shad Saleem lagi, Perlembagaan Persekutuan juga tidak mensyaratkan kerajaan untuk berunding dengan Majlis Raja-Raja sebelum meratifikasi Statut Rom.

Katanya, Raja-Raja Melayu tidak terlibat dengan ratifikasi dasar luar dan Statut Rom tidak menjejaskan kedaulatan Sultan dan Yang di-Pertuan Agong sama sekali.

“Orang yang berhujah mengenai kekebalan Raja-Raja Melayu juga mudah lupa, kekebalan Raja-Raja untuk melakukan jenayah dan kesalahan sivil digugurkan dalam Akta Pindaan Perlembagaan 1993.

“Kekebalan Raja-Raja Melayu yang disebut oleh orang yang menentang Statut Rom ini tidak wujud,” tegasnya.

Loading...

Jelasnya lagi, walaupun Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua pemerintah tentera, baginda tidak bertanggungjawab ke atas operasi dan tindakan tentera mengikut Perkara 137(1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, peruntukan itu menjelaskan pihak yang melakukan jenayah dan pembunuhan kejam akan dibicarakan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Shad juga berkata, 14 negara dengan sistem raja berperlembagaan meratifikasi Statut Rom, maka tiada sebab untuk Raja-Raja Melayu terus menolak.

Jelasnya, seorang raja masih boleh ditahan di luar negara atas kesalahan yang dilakukan di dalam negara kerana dibenarkan mengikut kuasa undang-undang antarabangsa.

Beliau memberi contoh, penahanan bekas diktator Chila, Jeneral Augusto Pinochet di London yang didakwa atas kesalahan melanggar undang-undang hak asasi.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih boleh menangkap pesalah, tidak kira jika Malaysia meratifikasi Statut Rom atau tidak, katanya.

Beliau memberi contoh, pelaku jenayah pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah ke atas kemanusiaan dan jenayah kekerasan di Rwanda tetap diburu.

Kes yang berlaku di Rwanda itu kini disiasat oleh tribunal yang ditubuhkan Majlis Keselamatan PBB.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan Malaysia menarik diri dari Statut Rom disebabkan “kekeliruan” berhubung perkara itu, yang menurutnya berpunca bermotif politik.

Dr Mahathir turut menyifatkan golongan yang cuba memburuk-burukkan kerajaan kerana meratifikasi perjanjian itu sebagai pengkhianat.

Loading...

1 Comment

  1. rusaidirashli

    So kalau tanpa tanda tangani boleh didakwa oleh tribuna antarabangsa buat apa nak tandatangani.Bagaimana pulak dg tindakkan keganasan yang dilakukan rejim isreal,India,china dan burma.Tiada tindakan diambil dah berkurun lamanya.Tapi jika berlaku dinegara islam tindakan segera diambil.Maknanya tujuan statue rome ini terpakai terhadap negara 2 islam .

Leave a Reply