Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Nik Nazmi Nik Ahmad menyalahkan mekanisme pendidikan kerajaan BN semasa memberi pinjaman kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai punca pelajar tidak menyelesaikan hutang PTPTN.
“Masalah ini berpunca daripada bercambahnya institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pada zaman Umno memerintah, bukannya salah kerajaan PH sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman yang mengatakan bahawa terdapat sebilangan pelajar terpaksa berhenti belajar kerana tidak mampu menampung kos pengajian.
Katanya, Azalina perlu membantu menyelesaikan masalah berkenaan dan bukannya mengkritik Menteri Pendidikan, Maszlee Malik tidak mengotakan janji.
Sementara itu penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, Azalina sendiri perlu berperanan sebagai Ahli Parlimen dan juga peguam jika beliau ikhlas ingin membangkitkan isu kebajikan pelajar dan hutang PTPTN dan tidak mempolitikkannya.
“Umno perlu membantu menyelesaikan masalah segelintir pelajar terpaksa berhenti belajar kerana tidak mampu menampung kos pengajian kerana mereka pasti mempunyai jawatankuasa kebajikan di IPT untuk melihat perkara itu,” katanya.
Leave a Reply