Bukan sekadar blog

Berita Utama

Misi selamatkan Tabung Haji kejayaan besar PH – Mujahid

PUTRAJAYA – Kejayaan menyelesaikan kemelut Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan antara pencapaian besar Pakatan Harapan (PH) dalam setahun mentadbir negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, keutamaannya adalah untuk mengembalikan kredibiliti TH serta mengukuhkan semula kedudukan institusi kewangan Islam itu yang berada di bawah portfolionya.

Katanya, setelah melalui proses pemulihan dan penstrukturan semula, TH telah kembali kepada landasan asal dan kini menuju jalan ke arah masa hadapan yang lebih baik.

“Kita telah mulakan pakej menyelamatkan TH sejak kita (PH) ambil alih pentadbiran negara. Pada Disember 2018 kita isytiharkan kedudukan TH yang amat menyedihkan dan berlakunya pelanggaran akta yang menyebabkan ia menjadi antara skandal yang besar dalam sejarah negara kita.

“Kita datang menyelamat bagi memastikan TH dan pendeposit serta wang mereka dijamin keselamatannya. Alhamdulillah telah kita lunaskan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini baru-baru ini sempena setahun pentadbiran PH.

TH berjaya mencatatkan jumlah aset RM76.5 bilion berbanding jumlah tanggungan RM75.5 bilion, sekali gus membolehkan agihan hibah tidak melebihi RM1 bilion dibuat bagi tahun 2018 walaupun tidak pada kadar tinggi seperti sebelumnya memandangkan TH baru sahaja pulih.

Mujahid berkata, usaha menyelamatkan TH itu merupakan antara perkara utama yang dijanjikan PH dalam manifestonya selain skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pada 9 Mei lepas, PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 setelah 60 tahun mentadbir negara.

Loading...

Leave a Reply