Bukan sekadar blog

Berita Utama

Masjid Kristal indah khabar dari rupa

MUNGKIN 11 tahun lalu, Masjid Kristal yang terletak di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man di sini, antara ikon pelancongan tersohor di Terengganu kerana struktur seni bina unik menggunakan kaca dan keluli selain kedudukannya di atas air menjadikan masjid itu lain daripada yang lain.

Bagaimanapun, masjid yang menelan kos bernilai RM22 juta dan dirasmikan pada 2008 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengalami kerosakan teruk dan tidak diselenggarakan dengan baik sejak 2012.

Ramai pelancong berkunjung ke TTI di Pulau Wan Man untuk melawat dan merakam momen indah di masjid berkenaan terpaksa balik dengan perasaan hampa berikutan masjid itu ditutup kerana dalam proses baik pulih.

Malah, orang ramai termasuk warganet di media sosial turut melahirkan kebimbangan Masjid Kristal yang dahulunya pernah dinobatkan sebagai masjid ketiga tercantik di dunia dan diiktiraf sebagai masjid pintar pertama di Malaysia akan terus dilupakan selepas munculnya ikon baharu pelancongan negeri iaitu Jambatan Angkat atau Drawbridge.

Khairin Zabmir, 38, dari Selangor berkata, dia datang ke TTI untuk berkunjung ke Masjid Kristal dan merasai pengalaman mengerjakan solat di masjid itu tetapi malangnya ia ditutup kerana masih dalam proses baik pulih.

“Saya pernah bekerja di negeri ini 10 tahun lalu dan menonton perasmian Masjid Kristal yang ditayangkan secara langsung di televisyen tetapi saya tidak berkesempatan ke masjid ini sehingga saya berpindah ke Kuala Lumpur pada 2009.

“Apabila datang semula ke Kuala Terengganu, saya berhasrat melawat TTI dan Masjid Kristal tetapi sedih apabila masjid yang dulunya pernah menjadi antara masjid tercantik mengalami kerosakan teruk dan tidak secantik dulu.

“Ramai pelancong datang ke negeri ini semata-mata untuk melihat masjid itu dan ia sepatutnya dijaga dengan baik memandangkan masjid ini antara tarikan utama sektor pelancongan di negeri ini namun sebaliknya berlaku,” katanya.

Khairin berkata, dia berharap masjid itu dibaik pulih sebaik mungkin dan fungsinya yang sebelum ini dijadikan tempat beribadah, solat lima waktu dan tarikan pelancongan negeri diperkasakan semula.

“Dua tahun lalu ketika datang ke negeri ini, bahagian luar masjid itu dihiasi lampu dan sangat indah apabila dilihat melalui Jambatan Sultan Mahmud tetapi sekarang hanya Jambatan Angkat dihiasi lampu pelbagai cahaya.

“Jika pihak bertanggungjawab tidak menguruskan Masjid Kristal dengan baik, masjid itu akan terus dilupakan dan pembinaannya hanya dilabel sebagai pembaziran,” katanya.

Pelancong dari Kuala Lumpur, Siti Sofiah Abdul Wahab, 39, berkata, dia pernah berkunjung ke Masjid Kristal pada 2009 dan kagum dengan seni bina dan keindahan masjid berkenaan.

“Melihat masjid itu dari jauh, ia seperti tidak mempunyai masalah tetapi apabila sampai ke kawasan masjid, kami terkejut melihat kerosakannya.

“Kami tertanya-tanya kenapa masjid yang menjadi ikon pelancongan negeri boleh terbiar dan tidak diselenggara.

“Jika masjid di kawasan kampung diselenggara dengan baik, sepatutnya Masjid Kristal juga diberi perhatian dan berharap masjid ini kembali gah seperti dahulu,” katanya.

Loading...

Leave a Reply