ALOR SETAR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi alasan sama berhubung kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji 100 hari adalah disebabkan bebanan hutang negara kini melebihi RM1 trilion.
Pengerusi PH itu berkata, kesukaran untuk mendapat kerjasama daripada pegawai tertinggi kerajaan yang menyebelahi Barisan Nasional (BN) juga memberi kesukaran kepada kerajaan di bawah pimpinannya untuk melaksanakan janji-janji yang dibuat dalam manifesto pada pilihan raya umum lalu.
“Kewangan negara telah rosak habis, kita hutang RM trilion. Lebih daripada satu trilion, itu soal kewangan. Soal pemerintah pula, segala jabatan dan kementerian dirosakkan, dihasut dan dipergunakan pegawai tinggi supaya tidak menjadi pegawai pentadbir tapi sebaliknya jadi ahli parti BN.
“Itulah pegawai tinggi yang terdapat dalam kementerian dan sukar untuk kita bekerjasama dengan mereka kerana kita tidak tahu sama ada arahan kita itu akan dipatuhi mereka atau tidak.
“Jadi kita terpaksa habiskan banyak masa untuk membersihkan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerana orang ini tak guna lagi,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Malaysia Baharu PH di sini, malam ini.
Yang hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, pihaknya tidak berhasrat meneruskan bantuan kepada rakyat yang dibuat kerajaan BN sebelum ini seperti menunaikan haji percuma dan elaun sara hidup.
“Kami janji boleh bagi tapi dengan syarat, tuan puan benarkan kami curi duit tapi kami tidak boleh curilah. Kami tiada duit banyak untuk bagi begitu sahaja. Tapi usaha kami sekarang untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Ini cara kita supaya dapat tambah pendapatan melalui cara halal bukan duit curi tapi kerana kita bekerja dapat gaji, mendapat keuntungan. Usaha kerajaan bukan sahaja nak bayar hutang tapi mentadbir negara dengan baik tapi juga memperkayakan rakyat yang mana juga memperkayakan negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Leave a Reply