Bukan sekadar blog

Berita Utama

Limau mandarin sempena Tahun Baru Cina naik harga

KUALA LUMPUR – Ekoran daripada perubahan iklim yang menyebabkan hasil penuaian menurun, harga limau mandarin saiz besar pada Tahun Baharu Cina telah meningkat sebanyak 30 hingga 40 peratus.

Kenaikan harga limau bersaiz besar itu juga memberi tempias kepada harga limau bersaiz kecil, menyebabkan harga limau mandarin secara keseluruhannya telah meningkat berbanding tahun lalu.

“Kalau harga limau Lokam bersaiz besar dijual RM30 sekotak tahun lalu, ia dijual RM40 pada tahun ini. Harga telah meningkat sebanyak RM10,” kata Pengerusi Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur, Chen Yu Mei kepada China Press.

Katanya, pihak pengeksport pada mulanya meletakkan harga lebih tinggi lagi yang menyebabkan pengimport dari Malaysia mengurangkan tempahan.

Keadaan itu seterusnya menyebabkan kebimbangan berlaku lambakan dalam kalangan pengeksport di China, dan mereka telah menurunkan sedikit harga untuk menggalakkan pembelian.

Walaupun kekurangan hujan menjejaskan penuaian di China, tetapi kualiti dan kemanisan buah masih baik.

Menurut Yu Mei, majoriti limau mandarin di Malaysia adalah limau Lokam yang diimport dari wilayah Fujian di China.

Selain itu, limau mandarin juga diimport dari Chaozhou di China (limau Jiao Kam), selain Jepun dan Taiwan, tetapi dengan harga lebih mahal berbanding Lokam dari Fujian.

“Harga Jiao Kam adalah lebih kurang seperti harga tahun lalu iaitu antara RM50 hingga RM60 sekotak,” kata Yu Mei. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply