Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir mendakwa dia diberi taklimat bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) mengalami kerugian tambahan sebanyak RM10 bilion pada tahun kewangan 2017 namun ia tidak dinyatakan dalam laporan badan tersebut.
Anggota Parlimen PKR itu berkata dia terkejut kerana kerugian tersebut tiada dalam laporan mengenainya dibuat.
“Dalam taklimat ada diadakan, apabila saham Felda Global Venture (FGV) jatuh dan panduan dalaman diubah, ada kerugian tidak direkodkan dan sebenarnya duit itu sudah tidak ada.
“Pendedahan semalam (Rabu) memang mengejutkan.
“Kita tahu pada 2017 defisit TH ialah RM4.1 bilion tapi ada angka tak dimasukkan sebelum ini,” katanya seperti dipetik portal berita TMI.
Menurut ketua pemuda PKR itu, perkara terbabit dinyatakan dalam taklimat Penyata Kewangan Tabung Haji 2017 kepada wakil rakyat PH di Parlimen pada Rabu.
Tambah Akmal, kerugian yang tinggi itu menyebabkan TH tidak dapat membayar kadar hibah yang tinggi kepada pendepositnya.
Selain itu, katanya lagi, kenaikan defisit TH turut disumbangkan oleh pemilikan saham FGV yang dibeli pada harga yang tinggi.
Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa mengumumkan kadar hibah TH sebanyak 1.25 peratus membabitkan agihan sebanyak RM913 juta untuk 2018.
Kadar itu merupakan yang terendah dalam sejarah sejak penubuhan TH pada 1963.
Pada tahun lalu, TH mengumumkan hibah 4.5 peratus kepada pendeposit, dan tambahan hibah haji 1.75 peratus pendeposit yang belum menunaikan haji bagi tahun 2017.
Leave a Reply