KOTA BHARU: Pakatan Harapan (PH) Kelantan melihat langkah PAS menjalin kerjasama dengan UMNO tanpa asas yang jelas boleh menjadikan perjuangan parti itu menjadi sia-sia.
Pengerusinya, Datuk Husam Musa, berkata dalam beberapa kerjasama politik sebelum ini PAS sentiasa meletakkan syarat tertentu terhadap parti lain yang mahu bersama parti itu.
Beliau berharap dalam konteks kerjasama ini, PAS tidak akan menjadi seperti seekor kerbau yang menyelamatkan buaya yang tersepit, namun akhirnya dimakan buaya itu.
“Ketika masa S46 (Parti Melayu Semangat 46), syarat PAS ialah S46 kena menerima Islam sebagai addin (agama), masa kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR) pula, DAP kena terima yang PAS boleh meneruskan dasar-dasarnya.
“Tetapi dalam kerjasama dengan UMNO, kita tidak pernah dengar apa-apa dasar atau satu asas dikemukakan PAS sebagai syarat kepada kerjasama itu.
“Pada pendapat saya kerjasama seperti ini walaupun nampak ada kejayaan sebentar tetapi akhirnya dasar perjuangan PAS akhirnya akan disia-siakan,” katanya ketika ditemui selepas majlis makan malam bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemenangan parti Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands kelmarin.
Mengulas lanjut, Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu mengakui gembira melihat kerjasama membabitkan dua parti itu yang sebelum ini dinafikan oleh pihak tertentu.
“Saya sebenarnya gembira kerana selama ini saya dituduh memfitnah adanya kerjasama PAS dengan UMNO dan saya dipecat pun kerana mendakwa adanya hubungan itu.
“Tetapi hari ini hubungan kerjasama PAS dan UMNO sudahpun menjadi rahsia terbuka dan kita melihat ada video oleh PAS tegar yang gembira mengundi dacing. Jadi apa yang saya sebut selama ini adalah benar dan hari ini dia menjadi realiti,” katanya.
Leave a Reply