Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Politik

Kerajaan PH bawa perubahan positif kepada negara

SHAH ALAM – Pendakwaan terhadap kes-kes berkaitan rasuah, ketirisan dan usaha mengekang pembaziran dalam pentadbiran negara adalah antara perubahan positif yang berjaya dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) setakat ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perubahan itu dilaksanakan bagi memenuhi harapan rakyat untuk mengembalikan semula kegemilangan negara.

Akmal Nasir

“Saya beri sokongan kepada rakan-rakan yang berada dalam kedudukan eksekutif untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab yang mereka galas.

“Tapi pada masa sama, kita perlu lebih prihatin dan melihat sokongan di luar dengan lebih terbuka. Saya juga tidak nafikan banyak lagi perkara yang masih kita perlu atasi kerana legasi yang ditinggalkan Barisan Nasional (BN) banyak yang negatif,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan PH terpaksa mengambil sedikit masa untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan kerajaan terdahulu kerana ia perlu dilakukan secara berperingkat.

“Harapan saya untuk tahun berikutnya, kita boleh duduk dan melihat perkara ini dengan lebih menyeluruh dari segi menentukan hala tuju kerajaan dan apa yang ingin dicapai seterusnya.

“Pada masa sama, rakyat juga perlu terus terlibat dalam proses demokrasi ini dengan kritikan-kritikan yang membina,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PAN, Shazni Munir Mohd Ithnin turut menyatakan pendapat yang sama mengenai pencapaian kerajaan PH.

Shazni Munir

“Usaha kerajaan dalam menjimatkan perbelanjaan pengurusan dan menyusun kembali perbelanjaan pembangunan berdasarkan prioriti rakyat merupakan langkah terbaik dalam mengurus negara.

“Secara keseluruhannya, pencapaian kerajaan PH dalam tempoh setahun ini boleh dikategorikan sebagai amat baik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, penerapan konsep demokrasi dalam pelbagai sudut yang dilaksanakan kerajaan juga dilihat sebagai pencapaian yang membanggakan.

“Pencapaian terbesar kerajaan PH yang paling ketara ialah memberi kebebasan yang optimum kepada rakyat untuk berekspresi dan media-media dibebaskan tanpa campur tangan politik sempit.

“Malah institusi penting negara seperti Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah turut diberi kebebasan tanpa sebarang pengaruh eksekutif,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén