Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Politik

Kenapa Felda tak untung seperti syarikat lain, soal Azmin

SEREMBAN – Datuk Seri Azmin Ali hairan sambil mempersoalkan kenapa Felda tidak dapat mencatatkan sejumlah keuntungan yang sama seperti syarikat-syarikat lain.

Menteri hal Ehwal Ekonomi itu berkata, syarikat-syarikat perladangan termasuk swasta yang lain telah jauh kehadapan, mendapat keuntungan yang besar dengan menggunakan teknologi-teknologi baharu yang lebih canggih untuk menguruskan ladang-ladang tersebut.

“Persoalannya mengapa Felda tidak dapat mencatat satu jumlah keuntungan yang sama?

“Maka kita harus melihat dari segi pengurusan ladang yang sebahagiannya sedang dilakukan FTP ataupun Felda Techno Plant dan sebahagiannya oleh Felda dan ada juga dilakukan secara persendirian oleh peneroka secara skala kecil.

“Oleh demikian pengurusan ladang-ladang bawah Felda harus kita kaji semula supaya ada skala skala ekonomi dapat memberikan pulangan dan meningkatkan produktiviti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Pilihan Raya Kecil DUN Rantau di Pasar Lama Taman Pasir Mas, Rantau malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas ditanya tujuan Kertas Putih itu harus dibentangkan di Parlimen.

Azmin menegaskan ia adalah antara perkara yang akan dibentang dan dibincangkan dalam Kertas Putih pemulihan Felda di Parlimen.

Menurutnya, beliau telah menyatakan dalam Dewan Rakyat sebelum ini bahawa Kertas Putih berkenaan harus dibuka untuk perbahasan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat supaya kerajaan dapat mendengar pandangan mereka, selain daripda pandangan yang telah kita perolehi daripada libat urus NGO-NGO anak peneroka Felda untuk menjamin masa depan mereka.

Justeru, pembentangan Kertas Putih itu bertujuan mendedahkan keadaan sebenar Felda.

Ia juga mahu peneroka memahami niat kerajaan yang mahu menjamin dan melindungi kepentingan peneroka untuk masa depan.

“Tetapi peneroka juga mesti tahu bahawa pengurusan lama iaitu satu pengurusan yang curang dan tidak bertanggungjawab dan pemulihan awal ini hanya boleh dilakukan apabila forensik audit yang dilakukan oleh satu juruaudit bebas yang profesional yang telahpun kita lantik dan telah siap.

“Kita akan dedahkan semua dalam laporan Kertas Putih itu, sementara itu kita juga akan mencadangkan beberapa langkah tentang pelan pemulihan Felda untuk jangka masa panjang kerana model perniagaan Felda sebelum ini telah menyimpang jauh daripada matlamat asal penubuhan Felda itu sendiri.

“Jadi kita mahu peneroka-peneroka Felda ini dapat bersama sama dengan kerajaan untuk melihat cadagan baharu ini dengan harapan ianya dapat menjamin masa depan peneroka dan juga institusi Felda itu sendiri,” tegasnya.- MalaysiaGazette

Leave a Reply

Theme by Anders Norén