Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Politik

Kemenangan BN di Rantau bukan bermakna PH hilang sokongan – Sivarasa

KUALA NERUS – Kemenangan BN dalam PRK DUN Rantau bukan bermakna PH sudah kurang sokongan, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat, R. Sivarasa.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, adalah mustahil PH menang di semua kawasan yang ditandingi walaupun memegang majoriti di peringkat Pusat.

“Saya cuma hendak bagi satu komen sahaja, sebab ada yang bagi pandangan apa yang berlaku di (PRK) Rantau ini bermaksud macam PH ini sudah kurang sokongan dan sebagainya.

“Bagi saya, kita tidak boleh menilai daripada satu PRK sahaja. PH memang ada majoriti di peringkat Dewan Rakyat dan di beberapa negeri.

“Ini satu realiti, walaupun pada masa kita pegang majoriti kita tidak boleh menang di semua kawasan, mustahil untuk mana-mana kerajaan menang di semua kawasan 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Interaksi Bersama Pemimpin bersempena Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Terengganu, hari ini.

Majlis yang diadakan di Dewan Besar Baiduri di TH Hotel & Convention Centre itu turut dihadiri Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Bagi Sivarasa, setiap parti politik di tanah air mempunyai pengaruh masing-masing dan perkara itu perlu diterima.

“Kita (PH) akan teruskan tanggungjawab kita sebab kita sudah dapat mandat dari majoriti rakyat dan kita akan terus melaksanakan janji-janji yang kita buat,” kata mantan Naib Presiden PKR itu.

Keputusan PRK DUN Rantau menyaksikan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN) memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr S Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu memperoleh 5,887 undi.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén