Bukan sekadar blog

Berita Utama

Kedah bakal naikkan tarif air

ALOR SETAR: Kerajaan negeri berkemungkinan menaikkan kadar tarif air Kedah jika terus dibebani hutang berkaitan infrastruktur air yang masih tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata bagaimanapun tarif berkenaan tidak akan dinaikkan secara mendadak atau terlalu tinggi bagi mengelak rakyat terbeban dengan kadar baharu kelak.

“Bulan lalu, kita sudah bersetuju menyerahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk menguruskan infrastruktur berkaitan air di negeri ini, manakala Syarikat Air Darul Aman (SADA) hanya akan fokus kepada pengurusan operasi serta perkhidmatan pelanggan.

“Dengan persetujuan itu ia bermaksud hutang infrastruktur air di kawasan luar bandar akan dihapus kira dan sekarang kita masih perhalusi hutang lain yang boleh dihapus kira.

“Tetapi jika masih ada hutang yang tidak dapat dihapus kira sehingga membebankan SADA, kerajaan negeri mungkin akan mempertimbangkan menaikkan tarif air,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri masih melakukan pembayaran hutang air kepada Kerajaan Pusat bagi meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air pada masa depan.

Sementara itu, kerajaan negeri turut akan menyemak semula kadar cukai taksiran selepas semakan kali terakhir dilakukan pada 1993.

Katanya, semakan itu terpaksa dibuat atas pelbagai faktor antaranya jumlah penduduk yang meningkat serta kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang perlu ditambah baik.

“Di Kedah pun tidak terkecuali kerana kita mahu menyampaikan perkhidmatan yang sama taraf dengan semua bandar raya lain di seluruh negara.

“Bagaimanapun kadar baharu yang akan dikenakan nanti dijamin tidak akan membebankan rakyat,” katanya.

Mengikut rekod, cukai taksiran yang dikutip MBAS pada tahun lalu, berjumlah RM47 juta.

Loading...

Leave a Reply