BANTING: Kadar baharu tarif air di Selangor akan diumumkan pada Jun atau Julai depan, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.
Katanya, perkara itu sudah dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), semalam.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada tarif air di negeri ini akan naik atau sebaliknya.
“Perbincangan itu bukan hanya membabitkan isu kenaikan tarif air semata-mata. Kita akan mengumumkannya secara pakej keseluruhan bagaimana menangani apa yang dikatakan tarif dan isu berkaitan, termasuk air percuma serta kempen penjimatan air.
“Justeru pada Jun atau Julai, kita akan mengumumkan secara keseluruhan yang mana ia akan memberi kesan langsung terhadap industri air di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Jelajah Maju Bersama Ke Daerah Kuala Langat’ di Masjid At-Taqwa, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan rancangan menaikkan tarif air bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan kepada pengguna kini mendapat persetujuan enam negeri.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, ketika mengesahkan perkara itu dipetik sebagai berkata, perundingan menaikkan tarif air sedang giat dijalankan kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, kerajaan negeri sudah membuat permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menaikkan taraf Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kepada majlis perbandaran.
“Permohonan ini diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). MDKL mencatatkan beberapa pencapaian bagus dan kita berharap KPKT akan menaikkan penarafan.
“Kita serah kepada KPKT sebab MMKN sudah berpuas hati dengan beberapa kriteria yang dipenuhi MDKL. Kriteria digariskan sudah dilepasi, namun bergantung juga pada penilaian KPKT untuk membuat keputusan,” katanya.
Leave a Reply