Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Politik

Johor dikhabarkan bakal menerima MB baharu

JOHOR dikhabarkan bakal menerima menteri besar baharu tidak lama lagi, sekali gus menjadi rombakan pertama dalam tempoh kurang setahun Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan di negeri ekonomi strategik dan juga di peringkat persekutuan sejak 9 Mei.

Penyandang jawatan itu, Osman Sapian dikatakan akan memberi laluan kepada rakan dari PPBM, yang bersama dengan PKR, PAN dan DAP membentuk PH.

Calon yang mungkin menggantikan beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong Sahruddin Jamal.

The Malaysian Insight difahamkan perkara itu dibincangkan dengan pihak Istana Johor ketika Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bertemu dengan Sultan johor Sultan Ibrahim pada Januari lalu dan kini merupakan isu penting.

Beberapa sumber di peringkat persekutuan dan negeri mendakwa, nama menteri besar baharu akan diumumkan selepas hasil rundingan dengan Istana Johor.

Difahamkan Sultan Ibrahim kini berada di luar negara dan akan pulang ke tanah air hujung minggu depan.

Osman bagaimanapun gagal dihubungi untuk mengulas perkara itu.

Dua pegawai kanan kepimpinan PH pusat mengesahkan kepada TMI bahawa proses menukar menteri besar sudah bermula beberapa minggu lalu dan pertukaran boleh berlaku seawal hujung minggu depan.

“Namun ia bergantung bila kita akan dapat persetujuan daripada Sultan,” kata seorang pegawai itu yang enggan dinamakan.

Adun Bukit Kepong Sahruddin Jamal disebut-sebut sebagai pengganti Osman Sapian.

Seorang lagi pegawai PH pusat berkata sebarang pertukaran kedudukan menteri besar akan dibincangkan dahulu antara pemimpin PPBM sebelum dibawa ke parti komponen PH yang lain.

“Lebih penting lagi, perkara ini akan dibincangkan dahulu dengan Istana Johor sebelum sebarang keputusan dibuat.”

“Keadaan ini dijangka berlaku kerana setiap kali ada kekosongan, parti lain akan cuba masuk (isi kekosongan) untuk agenda mereka,” kata sumber dari PH Johor.

Menurut satu keputusan yang dicapai majlis presiden PH pada awal tahun lalu, keempat-empat parti bersetuju bahawa jawatan menteri besar akan dipegang oleh PPBM.

Keputusan itu dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei lepas dan merupakan pelan pakatan itu sebelum pengundian jika Johor jatuh ke tangan PH.

Sumber-sumber PH pusat berkata setakat ini DAP dan PAN berpegang kepada konvensyen itu dan menyokong calon dari PPBM.

PPBM mempunyai 11 kerusi daripada 56 kerusi dewan undangan negeri.

Parti itu memenangi lapan kerusi pada PRU14 dan menambah tiga lagi kerusi selepas Adun bekas Umno Rasman Ithnain dari Dun Sedili, Rosleli Jahari (Johor Lama) dan Alwiyah Talib (Endau) menyertai PPBM.

DAP mempunyai 14 kerusi, PAN, sembilan dan PKR, lima.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén