Bukan sekadar blog

Berita Utama

Jangan sesiapapun pertikai keputusan lantik Latheefa – Mukhriz

ARAU – Semua pihak termasuk dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu berlapang dada menerima keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Latheefa perlu diberi peluang menjalankan tanggungjawab serta amanah tersebut dan sudah pastinya Perdana Menteri mempunyai pertimbangan sendiri ketika melantik bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty itu sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Dalam masa sama, kata Menteri Besar Kedah itu, Perdana Menteri juga telah menyatakan bahawa keputusannya adalah muktamad dan perkara tersebut sepatutnya dihormati oleh semua pihak.

“Saya kira penting beri peluang kepada Latheefa menjalankan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Jadi Dr. Mahathir merasakan beliau (Latheefa) adalah paling layak dalam kalangan ramai yang layak memegang jawatan itu.

“Latheefa merupakan seorang yang tegas dalam pelbagai isu termasuk pernah mengkritik Dr. Mahathir sendiri sebelum ini dan sekali gus membuktikan beliau tidak pilih kasih dan layak memegang jawatan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM Bahagian Arau di kediaman bekas Menteri Besar, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir menegaskan bahawa keputusan beliau melantik Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu adalah muktamad meskipun mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin PH sendiri.

Pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Jun lalu didakwa tidak menepati manifesto PH yang melarang pelantikan dalam kalangan ahli politik.

Malah, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH memberi penjelasan sewajarnya berhubung keputusan tersebut.

Anwar dilaporkan berkata, penjelasan mengenai perkara berkenaan penting apatah lagi pelantikan Latheefa bukan sahaja didakwa tidak bertepatan dengan manifesto PH dan Akta SPRM, malah tidak dimaklumkan kepada barisan Kabinet.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai desakan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman agar Latheefa berundur, Mukhriz berkata, langkah itu bukan pilihan yang baik kerana beliau dilantik oleh Perdana Menteri dengan mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.- UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply