KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyifatkan peranan peguam Syazlin Mansor tidak diperlukan lagi dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Kata Zuraida, ini kerana Peguam Negara bertindak mewakili kerajaan termasuk kementeriannya serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Kami perlu mengambil maklum Peguam Negara mewakili kerajaan termasuklah kedua-dua kementerian dan JBPM.

“Justeru, peranan Syazlin dalam mewakili JBPM sudah menjadi tidak perlu. Jadi beliau perlu menarik diri,” jelas beliau seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

Sementara itu, portal tersebut dalam laporan berasingan, peguam ahli keluarga Allahyarham Muhammad Adib, Mohd. Kamaruzaman A. Wahab memberitahu, keluarga anggota bomba tersebut mengakui keliru dengan penarikan Syazlin bagi kes terbabit.

“Kita (peguam) sudah beritahu keluarga (Muhammad Adib), tapi kita pun keliru, apa akan jadi. Ini berita mengejut kepada kami.

“Kami nampak ada sesuatu yang terjadi, tapi kami tak tahu. Jadi kami mahu penjelasan kenapa tiba-tiba(keputusan itu dibuat). Kenapa tiba-tiba? Sebab kes ini dah nak habis dah, tiba-tiba berlaku macam ini,” katanya.

Terdahulu, Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, JBPM serta keluarga Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Perkara itu dimaklumkan Syazlin di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner di sini. – UTUSAN ONLINE

Loading...