Seperti yang diketahui umum, bayi sembilan bulan yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, telah selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di mulutnya di sebuah hospital di London, semalam.
Menerusi status di akaun Instagram ibu Ainul iaitu Nurul Erwani Zaidi, wanita itu mengucapkan kesyukuran kerana pembedahan anaknya berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah semua dipermudahkan. Ainul stabil, cepat-cepat sihat ya Ainul. Nanti kita boleh balik Malaysia jumpa kawan-kawan Ainul,” katanya menerusi perkongsian pada awal pagi Selasa.
Nurul Erwani turut berkongsi gambar terbaru Ainul selepas selesai menjalani pembedahan.
“Ainul Mardhiah, jangan risau anak mama. Dah tiada lagi benda yang akan ganggu anak mama lagi. Kita doa sama-sama ya supaya Ainul Mardhiah sentiasa dilindungi oleh Allah dan diberikan kesihatan yang baik pada hari-hari yang mendatang,” katanya.
Pada masa yang sama, Nurul Erwani turut mengucapkan terima kasih kepada semua doktor dari pelbagai bidang yang bekerjasama untuk memastikan urusan membabitkan anaknya berjaya.
“Syukur, perancangan Allah paling indah sekali. Teruskan selit doa untuk Ainul di setiap solat kita. Ainul perlukan semangat kita untuk dia terus kuat. Terima kasih semua,” tambah Nurul Erwani.
Leave a Reply