Bukan sekadar blog

Berita Utama

Hilang RM250,000 dalam peti besi di rumah, Syed Saddiq minta jangan buat spekulasi

BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan polis berhubung kehilangan wang ratusan ribu ringgit di kediamannya dekat Petaling Jaya, Selangor.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar itu membuat laporan berhubung kejadian itu, pada Ahad.

“Saya telah membuat laporan polis terhadap kes kecurian yang berlaku di rumah saya,” tulisnya di laman Twitternya, petang Isnin.

Menerusi laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sg Way itu, Syed Saddiq menganggarkan wang tunai berjumlah RM250,000 hilang dalam peti besi yang disimpan di kediamannya pada Sabtu.

Syed Saddiq berkata, beliau menyedari wang tersebut hilang daripada peti besi di kediamannya pada kira-kira pukul 7 malam.

Menurut laporan polis itu juga, Syed Saddiq memaklumkan bahawa peti besi miliknya telah ditetapkan kod rahsia dan hanya individu tertentu yang tahu di mana beliau menyimpannya.

“Tiada sebarang kesan umpil dan keadaan rumah serta bilik adalah kemas,” katanya sambil menambah bahawa kali terakhir beliau membuka peti besi tersebut pada 13 atau 14 Mac lalu.

Syed Saddiq dalam satu kenyataan memberitahu, pihak polis dan pasukan forensik membuat siasatan di kediaman beliau sejak Ahad malam.

“Pada masa ini, saya tidak dapat mengesahkan sebarang butiran atau spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menafikan laporan media bahawa wang tunai berjumlah RM250,000 adalah milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Laporan media bahawa RM250,000 tersebut merupakan wang PPBM adalah tidak benar dan anggaran kecurian masih belum dapat disahkan.

“Saya harap semua pihak juga tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak sahih kepada orang ramai,” katanya.

Loading...

Leave a Reply