KADAR hibah termasuk bonus Tabung Haji bagi 2018 yang boleh diagihkan kepada 9.3 juta pendeposit hanyalah 2.08% sahaja, iaitu paling rendah dalam sejarah penubuhan TH.
Perkara tersebut telah didedahkan secara tidak sengaja oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika menggulung usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
Mujahid berkata, TH sudah memulihkan imbangan aset apabila nilai asetnya mencatatkan RM76.5 bilion berbanding liabiliti sebanyak RM75.5 bilion setakat Disember 2018, iaitu lebihan sebanyak RM1 bilion.
Ini bermakna jumlah dana yang boleh diagihkan untuk membayar hibah untuk 2018 adalah kurang dari RM1 bilion iaitu sekitar RM930 juta kerana akta TH tidak membenarkan jumlah nilai aset jatuh di bawah liabiliti.
Untuk tahun 2017, TH menggunakan dana sebanyak RM2.7 bilion untuk membayar hibah serta bonus sebanyak 6.25%.
Memandangkan lebihan dana untuk tahun 2018 hanya 1/3 dari tahun sebelumnya, maka hibah serta bonus TH untuk tahun 2018 juga hanya 1/3 dari kadar untuk tahun 2017, iaitu paling tinggi pada kadar 2.08%.
Itupun bergantung kepada juruaudit untuk membenarkan penilaian semula SPV yang besar itu digunakan kerana SPV itu tidak dijamin oleh kerajaan.
Jika juruaudit tidak membenarkan, maka TH akan terus berada dalam defisit dan tidak ada hibah untuk tahun 2018.
Kita tahu bahawa jumlah nilai saham di Bursa Malaysia sudah jatuh RM270 bilion sejak kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.
Kita semua maklum bahawa nilai aset Khazanah juga sudah jatuh RM25 bilion pada tahun lepas akibat kejatuhan saham ini
Macam mana pula nilai aset TH tidak akan mengalami sebarang penurunan memandangkan 53% dari aset TH dilabur dalam pasaran saham?
Sudah tentu, TH telah mengalami kerugian nilai yang besar tahun lepas walaupun Dr Mujahid tidak pernah sekalipun mengaku tetapi hanya cuba berulang-kali untuk mempersalahkan BN.
Tetapi, kerajaan ada satu jalan lagi tetapi agak berbahaya untuk masa yang akan datang iaitu menukar sistem perakaunan kepada Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9) untuk tahun 2018.
Sistem MFRS 9 berbeza dengan sistem MFRS 136 yang digunakan oleh TH sebelum ini kerana di bawah sistem MFRS 9, TH tidak perlu lagi untuk mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuiti tersenarainya.
Jika TH tidak lagi ambil kira rosot nilai untuk nilai saham pada tahun lepas, maka lebihan dana yang boleh diagihkan untuk membayar dividen akan lebih besar dari RM1 bilion sekarang.
Maka kadar hibah dan bonus TH untuk tahun 2018 boleh dinaikkan melebihi 2.08% yang dibenarkan pada masa ini.
Jika lebih tinggi dari 2.08% maka “magic” sudah berlaku dan masa depan TH terancam.
Kita tengok dan lihat.
Leave a Reply