PETALING JAYA – Konflik antara keluarga pelajar yang dirotan dan seorang guru yang diejek berakhir hari ini apabila mereka memilih untuk berdamai.
Perkara itu disahkan oleh Exco Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan, yang berkata perdamaian tercapai dalam pertemuan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru pada 2.30 petang tadi.
Katanya, kedua-dua pihak saling bermaafan dan mengakui kesilapan masing-masing.
“Pertemuan berjalan dengan lancar dengan kedua-dua pihak memohon maaf. Pihak pelajar juga telah menarik balik laporan polis semalam,” katanya menurut laporan Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, tersebar video di media sosial menunjukkan seorang wanita, dipercayai ibu pelajar berkenaan, mempersoalkan tindakan seorang guru lelaki merotan anaknya sambil menunjukkan kesan birat pada lengan dan peha gadis itu.
Aminolhuda berkata, perbincangan dan persefahaman di peringkat sekolah dan PPD turut dibuat bagi memastikan penyelesaian isu tersebut secara menyeluruh dan adil.
“Jabatan memandang serius insiden ini kerana melibatkan kredibiliti profesion perguruan dan proses kemenjadian murid itu sendiri sebagaimana hasrat yang digariskan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Leave a Reply