Bukan sekadar blog

Berita Utama

Dua daripada lima suspek tahan kereta polis diberkas

SEREMBAN – Polis hari ini berjaya memberkas dua daripada lima lelaki yang menahan dan memeriksa sebuah kereta peronda polis di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, semalam.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan di lokasi berasingan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Ujarnya, suspek pertama berusia 52 tahun yang merupakan jurujual kenderaan ditahan di daerah ini, manakala suspek kedua berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori diberkas di Rantau.

“Polis masih memburu tiga lagi suspek yang masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Loading...

Mohamad dalam sidang akhbar di sini pagi tadi berkata, polis mengenal pasti lima lelaki terbabit yang dipercayai penyokong sebuah parti politik berdasarkan rakaman video yang tular dalam media sosial serta laporan dibuat anggota polis terbabit

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam, kereta dinaiki dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal yang membantu kawalan lalu lintas dan mengiringi kertas undi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau dihampiri lima lelaki terbabit di hadapan SJKC Chung Hua.

Mereka kemudian meminta supaya but kenderaan dibuka kerana disyaki membawa kertas lebihan undi.

Bagaimanapun selepas diperiksa, mereka mendapati tiada sebarang kertas undi yang dimaksudkan lalu meminta maaf kepada anggota polis berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply