Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

‘Dapat 20 sen pun takpe…’ – Lelaki ini jadi Spiderman tanggung kos rawatan isteri OKU

AKSI ‘Spiderman’ menolak kerusi roda wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) di sekitar Georgetown, menarik perhatian orang ramai terutama kanak-kanak.

Ada minta mahu bergambar dan tidak kurang menghulurkan sumbangan ikhlas kepada penghibur jalanan itu.

Spiderman terbabit, Ahmad Shakirin Mohd Zain, 50, yang juga pelukis jalanan, berkata dia sudah lebih setahun menjadikan kerjaya itu sebagai pekerjaan sambilan meraih pendapatan dan mencari dana bagi merawat isteri, Nur Aznita Mohd Ismail, 37.

Sebelum ini, Ahmad Shakirin bekerja sebagai pelukis di Pasar Seni, Kuala Lumpur manakala isterinya adalah tukang masak di restoran terkenal di ibu kota.

“Isteri saya pernah terjatuh di bilik air menyebabkan dia mengalami serangan angin ahmar dan kerana menghidap kencing manis, kaki kanannya terpaksa dipotong daripada lutut ke bawah.

“Selepas itu, kami berpindah ke Pulau Pinang dan mencuba nasib mencari rezeki di sini dengan cara ini,” katanya yang menjadikan bilik tumpangan dengan kadar sewa RM55 sehari di tengah bandar raya sebagai tempat berteduh.

Ahmad Shakirin berkata, sebelum ini pendapatannya bergantung kepada hasil upah melukis dan menjual lukisan di beberapa lokasi tumpuan pengunjung sekitar ibu kota.

Katanya, melihatkan ramai kenalannya mampu meraih wang dengan berpakaian adiwira, dia membeli sut pakaian itu menerusi dalam talian dengan harga RM180.

“Sebenarnya kami suka kanak-kanak namun belum mempunyai rezeki cahaya mata dan dengan cara ini dapatlah kami menghiburkan kanak-kanak itu.

“Selain sebagai terapi diri, kami berasa gembira apabila dapat berdamping dengan kanak-kanak dan berharap orang ramai mendoakan kesejahteraan saya serta isteri,” katanya.

Ahmad Shakirin berkata, bukanlah maksudnya untuk meminta-minta, tetapi mereka pernah menerima sumbangan sebanyak 20 sen selepas diminta beraksi Spiderman dan bergambar dan dia tetap menerima sumbangan itu kerana paling penting ialah keikhlasan si pemberi.

Katanya, mujurlah pemilik bilik tumpangan disewa mereka memahami keadaan suami isteri berkenaan.

“Selepas isteri sembuh nanti, dia bercadang mahu menjana pendapatan dengan menjual makanan berikutan kepakarannya dalam menyediakan pelbagai jenis masakan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén