Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan media bahawa Projek Landasan Keretapi Pantai Timur atau ECRL akan diteruskan setelah rundingan mengenai pengurangan kos dengan China berjaya diselesaikan.
Dimaklumkan bahawa pembinaan fasa satu dan dua ECRL dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion menjadi RM44 bilion berbanding kos asalnya sebanyak RM65.5 bilion.
“Pengurangan kos ini pasti memberi manfaat kepada Malaysia dan mampu mengurangkan beban kewangan negara,” kata kenyataan media Pejabat Perdana Menteri lagi.
Pada waktu yang sama, Tun Daim Zainuddin, wakil kerajaan yang dilantik untuk berunding dengan China bagi pengurangan kos ECRL berkata, wang sebanyak RM21.5 bilion yang berjaya dijimatkan itu cukup untuk membina dua lagi Menara KLCC.
Wowwww…
“RM21.5 bilion itu adalah 32.8 peratus daripada kos asal yang berjaya dijimatkan,” kata Tun Daim yang masih lagi berada di Beijing.
Tun Daim juga mengesahkan jajaran baru ECRL hanya sepanjang 648 kilometer iaitu 40 kilometer lebih pendek berbanding laluan asal.
“Laluan baru ECRL akan bermula dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang-Bangi-Kajang-Putrajaya dan seterusnya disambungkan sehingga ke Pelabuhan Kelang,” tambah Tun Daim lagi.
Dengan ini bermakna, melalui jajaran baru yang disebutkan Tun Daim, bukan saja banyak stesen seperti Kuantan, Bentong dan Gombak dihapuskan, bahkan pembinaan terowong merentas Banjaran Titiwangsa yang dikira mencabar dan menelan kos tinggi juga telah ditiadakan.
Lebih daripada itu, jajaran baru ECRL ini turut mengenepikan sama sekali negeri Terengganu sebagaimana laluan asal.
Bermakna, laluan baru ECRL yang dirundingkan oleh Tun Daim ini boleh dikata banyak berbeza berbanding laluan asal sebelum ini.
Jadi, di mana jimatnya RM21.5 bilion seperti mana yang diumumkan itu?
Dengan laluan makin pendek, jajaran diubah serta banyak stesen dihapuskan dan tiada lagi pembinaan terowong merentas Banjaran Titiwangsa, bolehkah dikata kos ECRL telah berjaya dijimatkan?
Contoh mudah, daripada dapat banglo tetapi hanya diberi rumah Semi-D, bolehkah kita kata wang telah berjaya dijimatkan?
Hebatkah Tun Daim sebagai ketua perunding yang dilantik oleh Perdana Menteri dalam menjimatkan wang kerajaan?
Leave a Reply