KUALA LUMPUR – Hos rancangan Jalan Jalan Cari Makan (JJCM), Nazrudin Rahman kehilangan ayahanda tercintanya, Hj Habibur Rahman, 73, yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.45 malam semalam.
Bercakap kepada Utusan Online, Naz akui masih terkejut dengan pemergian secara tiba-tiba ayahnya yang disahkan menghidap penyakit kanser buah pinggang.
Menurut Naz lagi, arwah ayahnya sebulan yang lalu sempat menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dan doktor mengesahkan keadaan arwah semakin baik dan beransur pulih.
Namun Naz sekeluarga dikejutkan dengan keadaan ayahnya yang tiba-tiba sesak nafas semalam sebelum dikejarkan ke hospital.
“Arwah ayah dikejarkan ke Hospital Gleneagles jam 9 malam selepas mengadu sesak nafas. 45 minit kemudian doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” kongsi Naz.
Sementara itu, jenazah ayahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang selepas solat Zohor petahg tadi.
Menurut Naz, arwah ayahnya baharu sahaja didiagnosis menghidap kanser sejak dua bulan yang lalu.
“Ayah sebelum ini menjalani rawatan dialisis selama tiga tahun. Pembedahan bulan lepas adalah pertama kali dilakukan sebaik disahkan menghidap kanser buah pinggang.
“Walaupun ada kanser, ayah terima dengan reda dan kental melawan penyakitnya. Ayah pergi dengan sangat mudah.
“Akhir nafasnya, dia terbujur kaku, sejuk dan akhirnya menutup mata dengan tenang,” ujar Naz yang memohon doa orang ramai agar dapat sedekahkan Al Fatihah buat Allahyarham. – UTUSAN ONLINE
Leave a Reply