MELAKA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tata tertib terhadap anggota polis yang terlibat dalam insiden kekecohan kereta peronda polis (MPV) diperiksa orang awam ketika proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, arahan berhubung tindakan itu telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Negeri dan prosedur itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Intregriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Katanya, keputusan tegas itu diambil kerana sikap tolak ansur berkaitan undang-undang tidak sepatutnya berlaku sekali pun dalam keadaan terdesak.
“Pihak PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota terlibat kerana mereka sedia maklum mengenai bermacam saluran yang telah disediakan untuk mengawal keadaan, malah seramai 1,100 pegawai dan anggota berada dalam keadaan bersiap sedia pada hari tersebut.
“Sekiranya keadaan mendesak, anggota terbabit sepatutnya meminta bantuan dari balai polis atau Ibu Pejabat Daerah terdekat, mahupun Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan tiada alasan untuk mereka membenarkan orang awam menghalang tugas penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 1 di IPK Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 331 anggota dan pegawai Polis Kontinjen Melaka menerima anugerah tersebut sempena menghargai jasa semasa era darurat dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960 dan era insurgensi komunis pada 17 Jun hingga 2 Disember 1989. – K! ONLINE
Dato' Jasan
Kesian annggota berkenaan. Kalau jadi rusuhan akibat tak benarkan diperiksa, mereka dipersalahkan juga. PDRM tak bela anggota mereka dari risiko kerja. Kesian…… .Bela (protect) dan jaga moral mereka
Aris Bin Zainuddin
Bagus! Ambil tindakan berat terhadap anggota2 berkenaan kerana pengecut.