Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Dalam Negeri

Anak muda perlu contohi Dr Mahathir, kata Syed Saddiq

GENERASI muda perlu mencontohi Dr Mahathir Mohamad sebagai tokoh pemimpin yang membawa nilai Asia, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, golongan muda perlu bekerja keras seperti perdana menteri itu untuk memastikan Wawasan 2020 yang dicetuskan Dr Mahathir dapat dicapai.

“Dr Mahathir benar-benar membawa sistem nilai Asia yamg perlu diguna pakai oleh orang lain. Beliau orang yang bekerja keras dan jarang sekali ambil masa lapang,” katanya.

Beliau mengakui cita-cita yang terkandung dalam Wawasan 2020 itu sukar dicapai walaupun sasaran itu ditetapkan berlaku pada tahun depan.

“Kalau anak muda Malaysia berani sahut cabaran ini mengubah sistem nilai mereka, kerja 10 kali lebih keras, kita pelajari bidang teknologi baru, sahut cabaran baru, anak muda Malaysia akan jadi barisan hadapan menggerakkan Wawasan 2020,” katanya.

Katanya, anak muda juga tidak boleh menggunakan kaedah konvensional dan perlu mencari kelainan sekiranya ingin lebih maju ke hadapan.

“Sebagai anak muda kita perlu berani sahut cabaran baru. Kita tidak boleh harap jalan konvensional dan harap perkara istimewa berlaku.

“Kalau kita guna jalan sama dan tidak berani guna jalan lain, bagaimana kita nak bergerak jauh ke hadapan apabila hanya guna jalan yang sama yang digunakan berjuta orang lain yang jauh lebih berpengalaman dan ada ‘networking’ lebih baik.

“Kita perlu berani berfikir di luar kotak dan gunakan jalan yang tidak berani digunakan orang lain,” katanya lagi.

Beliau berucap dalam Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam.

Konvensyen menghimpunkan tokoh sektor awam, swasta, NGO dan akademik itu dipromosi untuk merangka resolusi agar kembali menjadi Harimau Asia yang disegani. – 1 April, 2019.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén