Bukan sekadar blog

Sukan

Terengganu City diberi tempoh 30 hari lunas hutang

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan juara Liga FAM 2018, Terengganu City FC untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebanyak RM411,900 melibatkan 21 bekas pemainnya.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd. Joehari Ayub dalam satu kenyataan memaklumkan kelab berkenaan perlu membayar tunggakan gaji tersebut yang tertakluk kepada potongan wajib pendapatan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Mohd. Joehari berkata, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) pula diarahkan untuk membayar pampasan kontrak dan tiket penerbangan kepada tiga bekas pemain import mereka iaitu Frederico Bello Saraiva AS$29,903 (RM125,429), Paulo Henrique Santos De Azevedo sebanyak AS$29,779 (RM124,91) dan Leonardo Moreira De Carvalho sebanyak AS$26,779 (RM112,327).

Beliau turut mendedahkan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) diarahkan untuk membayar tunggakan yuran agensi sebanyak RM270,000 kepada seorang pegawai agensi, Vladir Souza Junior Adolfo.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pula perlu menjelaskan tunggakan gaji (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) kepada tiga bekas pemainnya, Norhafiz Zamani Misbah sebanyak RM87,500, Zairul Fitree Ishak (RM52,500) dan Mohd. Daudsu Jamaluddin sebanyak RM33,000.

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) pula diarahkan untuk menjelaskan tunggakan gaji kepada Darwira Sazan sebanyak RM20,000 dan Muhammad Zulkhairi Zulkeply (RM18,000), manakala kelab Marcerra United FC perlu membayar tunggakan gaji sebanyak RM28,000 kepada bekas pemainnya, Mohd. Mursyidin Maudoode.

Mohd. Joehari memaklumkan Felda United diarahkan melunaskan tunggakan baki bayaran gaji (signing fees) dan elaun perumahan yang tidak dinyatakan jumlahnya kepada bekas pengendali pasukan berkenaan, B. Sathianathan.

Kesemua keputusan berkenaan, jelas Mohd Joehari, dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Status FAM kali ke-11 bagi penggal 2017-2021 pada 23 Mei lalu.- BERNAMA

Loading...

Leave a Reply