Bukan sekadar blog

Berita Utama

Selamaba makan 10 burger, video ‘mukbang’ Muhammad Izzat trending di YouTube

KOTA BHARU – Nama Nur Muhammad Izzat Osman mungkin asing kepada umum tetapi jika pernah menonton IsaacOsmanTV di You Tube sudah tentu ramai yang mengenalinya kerana menghasilkan video makan dalam kuantiti yang begitu banyak atau disebut sebagai mukbang.

Perkataan mukbang diambil daripada bahasa Korea yang sebelum ini video seperti itu hanya dihasilkan oleh penduduk negara berkenaan sebelum mendapat perhatian rakyat dari negara lain seperti Malaysia.

Jika pernah melihat videonya memakan 10 biji burger sekali gus, anda mungkin mengatakan ‘gilanya lelaki ini’ tetapi inilah cara Nur Muhammad Izzat memberi kelainan dalam menghasilkan video yang disebut netizen sebagai satu-satunya Mukbang Malaysia.

Mempunyai lebih 300,000 pengikut di You Tube, Nur Muhammad Izzat sanggup menghabiskan wang beratus ringgit membeli makanan atau minuman yang bersamaan antara 2,500 hingga 4,500 kalori dan videonya pernah ditonton lebih sejuta pelayar.

“Setiap minggu saya akan menghasilkan sekurang-kurangnya tiga video bagi review makanan dengan cara memakan makanan dalam kuantiti yang banyak atau lebih dikenali sebagai mukbang.

“Video pertama saya dihasilkan pada Ogos tahun lalu dengan makan 10 cup (bekas) mee pedas ramen pelbagai produk dengan memberikan komen apa istimewanya mee pedas yang menjadi kegilaan golongan muda ketika itu dan selepas itu nama saya semakin dikenali sebagai Mukbang Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Berusia 31 tahun dan bekerja sebagai pereka bentuk gerai pameran, berkata sebagai seorang yang gemar berlari, jogging, mendaki bukit dan mengayuh basikal, budaya makan banyak adalah sebati dengan dirinya kerana selepas bersukan, beliau sentiasa lapar dan makan dengan banyak.

“Sebab itu makan dalam kuantiti banyak ini tidak menjadi masalah buat saya dan ini kelainan yang saya paparkan dalam setiap video saya,” katanya.

Beliau berkata walaupun makan dalam kuantiti banyak, kesihatan tetap menjadi keutamaan dirinya yang akan memastikan beliau kerap bersukan bagi membakar kalori.

“Contohnya, saya akan bersukan pada waktu malam dan disambung berkayuh basikal ulang-alik ke pejabat sejauh 18 kilometer setiap hari serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan Alhamdulillah setakat ini saya masih sihat.

“Ramai tidak tahu sebelum menghasilkan video, satu hari sebelum itu saya tidak akan makan yang berat dan akan bersenam selepas itu,” katanya.

Mengakui keluarga dan isterinya, Izzati Mazlan pada mulanya terkejut apabila dirinya boleh memakan begitu banyak namun akhirnya merekalah yang menjadi pendorong buat Nur Muhammad Izzat menghasilkan video mukbang seterusnya.

Menafikan mempunyai persamaan dengan personaliti You Tube lain seperti Matt Stonie yang turut menghasilkan video sedemikian, Nur Muhammad Izzat berkata apa yang dilakukan beliau hanyalah secara suka-suka saja dan bukan hanya video makan saja dihasilkan tetapi merakamkan juga aktivitinya bersukan.

“Kalau lihat video saya bukan semuanya memakan makanan secara mukbang malah ada juga yang makan secara biasa dan pelbagai aktiviti saya bersukan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini beliau menghasilkan lebih 500 video melalui rangkaiannya itu dan sudah ke Korea Selatan, Indonesia dan beberapa negara jiran lain untuk merakamkan video makanan rakyat negara berkenaan. – BERNAMA

Loading...

Leave a Reply