Bukan sekadar blog

Sukan

Lewat 30 saat, Terengganu gagal daftar pemain import

KUALA TERENGGANU – Terengganu FC (TFC) sah tidak dapat menggunakan khidmat pemain import dari Brazil, Luis Gustavo Camilo bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Ia berikutan kegagalan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menghantar permohonan perpindahan pemain pertahanan berkenaan ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada masa yang ditetapkan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan PBSNT, kelewatan 30 saat selepas Sistem Pemadanan Perpindahan (TMS) ditutup menjadi punca permohonan untuk mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain yang digelar ‘The Tanker’ itu ditolak.

Berikutan itu, PBSNT melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat permohonan secara manual dan diajukan kepada Jawatankuasa Perpindahan dan Status Pemain FIFA.

Permohonan berkenaan juga ditolak FIFA apabila PBSNT dan kelab pemain dari Brazil, Feroviaria FC gagal melengkapkan dokumen penting yang diperlukan.

“Kedua-dua pasukan berjaya mencapai persetujuan perpindahan Camilo secara pinjaman beberapa minit sebelum sistem ditutup. Namun pengurus TMS di FAM tidak sempat membuat permohonan secara atas talian selepas 30 saat ia ditutup kerana kesuntukan masa.

“FIFA turut menolak permohonan manual disebabkan gagal mengemukakan satu dokumen selain memohon di luar waktu dibenarkan,” kata Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Sebelum ini, PBSNT menggugurkan pertahanan import dari Montenegro, Igor Zonjic pada saat akhir untuk digantikan dengan Camilo, bagaimanapun ia bagaikan menjerat diri pasukan itu.

Mengulas lanjut, Tengku Farok berkata, PBSNT tidak akan berputus asa sebaliknya akan membuat permohonan khas kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mendaftar pemain yang sudah memiliki ITC di Malaysia.

Skuad TFC yang kehilangan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan secara mengejut pada 15 Mei lalu sudah memiliki calon sekiranya pendaftaran khas itu dibenarkan MFL.

“Skuad Penyu di bawah kendalian pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain sebenarnya sudah memiliki calon yang difikirkan layak bagi menyertai TFC dan jika dibenarkan oleh MFL kita akan teruskan.

“Pihak TFC memohon maaf kepada peminat TFC dan pihak terbabit atas kerumitan ini, pastinya masalah ini tidak melemahkan semangat TFC dalam meneruskan baki saingan liga dan Piala Malaysia untuk mencapai sasaran yang diinginkan,” kata Tengku Farok.

Loading...

Leave a Reply