SEORANG lelaki yang berasal dari Lexington, Kentucky hanya memakan daging mentah sejak 10 tahun lalu mendakwa bahawa diet tersebut berupaya menyihatkan tubuh badannya, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Derek Nance berkata, dia bukan sahaja memakan daging mentah tetapi juga meratah organ haiwan seperti limpa, hati dan testikal haiwan ternakan.
Menurut lelaki berusia 35 tahun itu, bahagian haiwan yang tidak dimakannya cuma kuku dan tanduk.
Dia yang mengamalkan diet tersebut kira-kira 10 tahun lalu turut memberi empat orang anaknya makan daging mentah. Namun, pasangan hidupnya, Joanne Prosser tidak mengikuti tabiat pelik tersebut.
Bagaimanapun, perkara paling aneh dalam diet Nance ialah lelaki tersebut gemar memakan daging busuk yang dinamakannya sebagai ‘daging khayal.’
Daging busuk, kata Nance, mempunyai bakteria tertentu yang memberikan kesan seakan-akan khayal kepada mereka yang memakannya.
“Daging reput adalah sebahagian daripada diet semula jadi melibatkan hampir semua haiwan pemangsa di planet ini. Terdapat banyak haiwan yang anda lihat merupakan pemangsa,” katanya.
Dia turut memakan ulat berenga yang terdapat pada daging busuk.
Nance akan memandu ke sebuah ladang organik tempatan pada setiap bulan untuk memilih haiwan ternakan yang akan disembelihnya sendiri.
“Daging biri-biri dewasa yang beratnya kira-kira 79.3 kilogram dapat memberikan bekalan daging selama sebulan,” katanya. – Agensi
Leave a Reply