Bukan sekadar blog

Berita Utama

Kementerian Kewangan tuntut pinjaman NFCorp lebih RM253 juta

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan akan menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman daripada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) bernilai lebih RM253 juta.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara ini telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos 2018 untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan Penyata Lengkap Pinjaman Kerajaan Persekutuan setakat 30 April 2019 daripada Jabatan Akauntan Negara, baki pinjaman NFCorp yang belum selesai kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM253,618,455.03, termasuk faedah dan faedah lewat setakat 30 April 2019.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM110,840,854.28 merupakan jumlah bayaran yang tertunggak kepada Kerajaan Persekutuan setakat tarikh tersebut, iaitu tunggakan pokok pinjaman sebanyak RM81,987,629.65, faedah sebanyak RM22,967,131.55 dan faedah lewat sebanyak RM5,886,093.08,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, pada 9 Januari 2008, NFCorp telah mendapat kemudahan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM250,000,000 pada kadar faedah 2 peratus dengan tempoh pinjaman selama 20 tahun dan tempoh tangguh selama tiga tahun.

“Pinjaman ini bersandarkan debentur yang ditandatangani bersama perjanjian pinjaman pada 6 Disember 2007.

“Pada 4 September 2014, Notis Pengisytiharan Berlaku Keingkaran selaras dengan klausa 14 Perjanjian Pinjaman di antara Kerajaan Persekutuan dan NFCorp telah dikemukakan kepada NFCorp,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, berdasarkan laporan usaha wajar syarikat perakaunan PwC, Ahli Lembaga Pengarah NFCorp bagi tempoh 6 Disember 2007 sehingga 31 Disember 2011 terdiri daripada Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan anak-anaknya, Izran Salleh, Izmir Salleh, Izzana Salleh bersama wakil-wakil Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Walau bagaimanapun, carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 17 Mei 2019 merekodkan Mohamad Salleh sebagai satu-satunya Ahli Lembaga Pengarah NFCorp bersama dua orang setiausaha syarikat,” katanya.

NFCorp sebelum ini ditubuhkan bagi membangunkan industri daging lembu secara terancang, bersepadu dan mampan, namun syarikat itu gagal dalam mencapai matlamatnya selain terpalit dengan kontroversi membabitkan kewangan.

Loading...

Leave a Reply