Bukan sekadar blog

Berita Utama

Budak lelaki buat laporan palsu berdepan tindakan polis

KUALA TERENGGANU – Gara-gara takut dimarahi emak kerana bermain futsal sehingga lewat petang, seorang kanak-kanak mereka cerita tentang dirinya cuba diculik.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak berusia 12 tahun dari Merchang, Marang itu turut membuat laporan polis kelmarin, malah bercerita lanjut tentang seorang individu menaiki van putih telah menariknya dari belakang, namun dia berjaya melepaskan diri.

Bagaimanapun, setelah siasatan dijalankan, ternyata dakwaan itu tidak benar dan kanak-kanak itu mengaku mereka cerita kerana takut dimarahi emaknya.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid memandang serius dakwaan palsu itu berkata, pihaknya sedang menimbang mengambil tindakan ke atas kanak-kanak terbabit atas kesalahan membuat laporan palsu.

Menurutnya, tindakan tegas perlu dibuat memandangkan kes laporan palsu, khususnya membabitkan penculikan oleh kumpulan van putih sudah berulang kali dibuat sebelum ini.

“Bagi kes ini, memandangkan dia di bawah umur, kita akan bincang dengan pihak pendakwaan untuk tindakan seterusnya.

“Kita perlu bertegas kerana membuat laporan palsu adalah kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan. Kita tidak mahu ada yang terus mengambil kesempatan dan membuat laporan palsu, sedangkan ia tidak benar.

“Kes sebegini apabila dikongsi di media sosial akan menimbulkan kegemparan dan ketakutan kepada orang ramai. Kalau ia berterusan, kita bimbang jika berlaku penculikan yang betul, orang akan anggapnya tidak benar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini semalam.

Insiden cubaan culik itu tular di media sosial sejak kelmarin setelah salinan laporan polis dan gambar kanak-kanak itu disebarkan dan dikongsi netizen.

Mengulas lanjut mengenai kes itu, beliau berkata, hasil siasatan dibuat, kenderaan didakwa digunakan dalam kes cubaan penculikan itu adalah milik individu di Selatan Tanah Air dan tidak terlibat dalam kejadian berkenaan.

Beliau turut menegaskan, hanya 11 kanak-kanak dilaporkan hilang di Terengganu sepanjang tempoh 2015 hingga Mei lalu, namun sembilan kanak-kanak berjaya ditemui semula manakala dua lagi kanak-kanak perempuan masih belum diketahui.

Bagaimanapun, kesemua sembilan kes berkenaan tidak melibatkan unsur jenayah seperti penculikan atau ugutan, sebaliknya berpunca daripada masalah keluarga.

“Setakat ini, memang tiada kes cubaan menculik membabitkan kumpulan van putih di Terengganu. Bagi mengelak kejadian tidak diingini, kita akan ingatkan ibu bapa sentiasa awasi anak-anak dan ambil tahu ke mana mereka pergi, dan awasi keselamatan mereka.

“Pada masa sama, saya minta masyarakat sebelum tularkan kes-kes sebegini, semak dulu dengan pihak berkuasa. Perkara tular tidak berasas ini hanya akan menyebabkan kegemparan, ketakutan dan perasaan tidak selamat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Loading...

Leave a Reply