KUALA TERENGGANU Seorang pemuda bertarung hampir tiga minit dengan menawarkan harga setinggi RM4,650 bagi mendapatkan sebuah motosikal Yamaha RXZ dalam acara lelongan awam di Depoh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu hari ini.

Bagaimanapun usaha Mohamad Fadhli Mohamad Mokhtar, 28, dari Kampung Seberang Baruh di sini berbaloi apabila motosikal berwarna merah keluaran tahun 1985 itu menjadi miliknya selepas berkali-kali membida.

“Saya sudah lama meminati motosikal jenis Yamaha RXZ cuma tidak berpeluang untuk membeli kerana harganya yang mahal sehingga mencecah RM10,000.

“Apabila saya dapat tahu ia ada dalam senarai kenderaan lelongan ini, saya terus simpan hasrat untuk membeli dan sanggup membida dengan nilai paling tinggi sebanyak RM5,000,” katanya kepada pemberita selepas acara itu.

Mohamad Fadhli berkata, harga bidaan sebanyak RM4,650 itu dianggap cukup murah dalam keadaan motosikal tersebut yang tidak menunjukkan kerosakan ketara.

Katanya, dia tidak kisah menggunakan sebahagian wang simpanan untuk memiliki motosikal idamannya itu. – UTUSAN ONLINE

Loading...